GAYA HIDUP

Great British Circus Memukau Penonton Di P. Pinang Dengan Persembahan Muzikal

26/01/2025 04:11 PM

BUKIT MERTAJAM, 26 Jan (Bernama) -- Great British Circus sekali lagi memukau penonton, kali ini dengan London Musical Show yang sedang berlangsung di Auto-City Juru, di sini.

Dikenali dengan persembahan bertaraf dunia dan aksi yang mendebarkan, Great British Circus memperkenalkan sentuhan unik pada produksinya dengan menggabungkan keajaiban teater muzikal dan seni sarkas yang menakjubkan.

Persembahan gala  London Musical Show itu berlangsung pada malam Khamis dan dihadiri oleh kanak-kanak daripada dua rumah kebajikan di Pulau Pinang, iaitu  Shan Children’s Home dan Pusat Kebajikan Kanak-Kanak Terencat Akal Seberang Perai Tengah.

Acara itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kabajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang Lim Siew Khim.

Persembahan selama dua jam itu menampilkan aksi sarkas baharu oleh artis daripada United Kingdom dan Kanada yang diiringi muzik serta tarian, memberikan pengalaman yang mengujakan kepada penonton pelbagai peringkat usia.

Produksi juga mengetengahkan khemah rekaan baharu dengan tempat duduk yang ditambah baik serta lampu dan sistem bunyi yang canggih, memastikan semua yang hadir terpesona.

pic-2

Great British Circus turut menyumbang RM2,500 masing-masing kepada dua rumah kebajikan berkenaan.

Dalam ucapannya,  Lim berkata Great British Circus telah menjadi nama ikonik di Malaysia dalam tempoh sedekad lalu, menghidangkan persembahan bertaraf dunia kepada masyarakat.

“Kami berasa amat bangga dengan pemilihan Pulau Pinang sebagai satu daripada dua venue untuk persembahan menakjubkan ini.

“Acara ini akan membantu memperkukuhkan lagi kedudukan Pulau Pinang sebagai hab bagi kecemerlangan budaya dan seni yang turut mencerminkan reputasi negeri ini sebagai destinasi budaya,” katanya.  

Lim juga memuji inisiatif amal itu kerana ia mencerminkan semangat tanggungjawab sosial korporat yang penting dalam membangunkan masyarakat lebih inklusif dan penyayang.

pic-3

Pengasas Great British Circus Kiril Kirilov dan Biliana Kirilova turut hadir pada acara tersebut.

Dalam temu bual, Kirilov berkata bahawa Great British Circus telah mengadakan persembahan di Malaysia selama 10 tahun sejak 2014 dan tujuh kali di Auto-City Juru, namun kali ini produksinya menampilkan sesuatu yang berbeza.

“Setiap kali kami kembali ke sini kami mahu mengubah pertunjukan dan memberikan kalian alasan untuk datang semula. Oleh itu, bagi setiap pertunjukan, kami lakukan sesuatu yang berbeza untuk penonton.

“Pada tahun lepas, kami mempersembahkan lebih banyak aksi akrobatik dan sarkas, tetapi kali ini kita pertontonkan nyanyian, teater dan lakonan yang dipersembahkan oleh artis profesional,” katanya. 

Terdahulu, London Musical Show dipentaskan di Desa ParkCity di Kuala Lumpur.

Pertunjukan di Auto-City Juru berlangsung setiap hari hingga 16l Feb. Tiket boleh didapati dalam talian di  www.greatbritishcircus.com dan di tapak persembahan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2386813