SUKAN

Liga Super: Tiga Mata Penuh, Sabah FC Yakin Mampu Rapatkan Jurang Liga

26/01/2025 11:58 AM

SEREMBAN, 26 Jan (Bernama) -- Kejayaan Sabah FC mengutip tiga mata penuh selepas menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) 2-1 semalam memberi suntikan keyakinan kepada skuad Sang Badak untuk terus merapatkan jurang dengan pasukan teratas Liga Super.

Ketua Jurulatih Sabah FC Martin Stano, bagaimanapun mengingatkan pasukannya agar terus bekerja keras untuk mengekalkan momentum kemenangan kerana masih banyak perlawanan yang perlu dihadapi.

“Kemenangan ini sememangnya memberi kami keyakinan besar untuk terus mendekati pasukan teratas Liga Super seperti Selangor dan Johor Darul Takzim (JDT). Namun, perjalanan masih panjang dengan banyak lagi perlawanan yang perlu dilalui.

“Sekarang kami perlu fokus pada perlawanan separuh akhir, aksi kedua, sebelum menyambung saingan liga. Kita akan lihat berapa banyak mata yang dapat dikumpul menjelang penghujung musim,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman semalam yang menyaksikan Sabah FC menundukkan NSFC 2-1.

Stano turut mengakui Sabah FC berdepan kesukaran sepanjang perlawanan tersebut, terutama pada separuh masa pertama meskipun pasukannya mendahului perlawanan. Kedua-dua pasukan mencipta banyak peluang sehingga ke wisel penamat.

“Pada akhirnya, saya akui kami bernasib baik. NSFC menunjukkan peningkatan, terutama selepas kemenangan mereka ke atas Pahang 2-1 sebelum ini. Kami pula tidak beraksi baik dalam perlawanan Piala Malaysia yang lalu, jadi kami memang menjangkakan satu perlawanan yang sengit,” tambahnya.

Dengan kemenangan ini, Sabah FC kekal di tangga ketiga liga dengan 32 mata, tujuh mata di belakang Selangor FC (39 mata), sementara JDT terus gah di puncak liga dengan 52 mata, manakal NSFC di tangga ke-12 dengan sembilan mata.

Sementara itu, Ketua Jurulatih NSFC, K. Nanthakumar, tetap memuji persembahan anak buahnya walaupun gagal meneruskan rentak kemenangan di laman sendiri. Beliau mengakui kekurangan fokus pada babak pertama menjadi punca kekalahan pasukannya.

“Pemain sudah memberikan seratus peratus usaha, tetapi kami tidak berjaya menjaringkan gol, terutamanya pada minit-minit terakhir. Jika gol itu berjaya, mungkin keputusan akan berubah. Kami juga kekurangan pemain penyerang berkaliber seperti Sabah FC,” katanya.

NanthaKumar turut memaklumkan bahawa beliau akan mengekalkan barisan pemain sedia ada untuk perlawanan seterusnya menentang Terengganu FC bulan hadapan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2386738