AM

JPJ Kedah Kutip Lebih RM100,000 Saman Daripada Kenderaan Thailand

27/01/2025 11:04 AM

ALOR SETAR, 27 Jan (Bernama)  -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah berjaya mengutip RM101,300 daripada 352 saman yang dikeluarkan terhadap kenderaan Thailand atas pelbagai kesalahan dalam operasi yang dijalankan sejak Disember tahun lepas.

Pengarah JPJ Kedah Stien Van Lutam berkata antara kesalahan tersebut ialah menyalahgunakan Permit Pengedaran Antarabangsa (ICP), tiada lesen memandu dan kesalahan teknikal.

Beliau berkata bayaran saman tertinggi yang diperoleh melibatkan pemilik van Thailand berusia 45 tahun yang mempunyai tunggakan saman sebanyak RM17,700.

“Dia ditahan di sekitar Changlun, bila kita periksa dia ada saman tertunggak sejak 2022 dan tak bayar, bila dia jelaskan semua tunggakan itu baru kita lepaskan balik negara asal.

“Adalah perlu untuk kita bertegas dengan mereka yang melakukan kesalahan di sini supaya orang luar menghormati dan mematuhi peraturan negara kita sepertimana kita menghormati peraturan negara lain,” katanya kepada pemberita semasa Ops Khas Tahun Baharu Cina 2025 di Terminal Bas Shahab Perdana di sini malam tadi.

Dalam pada itu, Stien berkata sejak operasi tersebut berkuat kuasa bermula 20 Jan hingga semalam, sebanyak 10,656 kenderaan diperiksa dengan 1,864 saman telah dikeluarkan manakala 15 kenderaan disita di negeri ini.

Beliau berkata motosikal masih mencatatkan kesalahan tertinggi diikuti kereta dan lain-lain kenderaan atas pelbagai kesalahan.

“Tiga kes terhadap pemandu bas diambil tindakan kerana menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tiada pemandu kedua dan memotong di garisan berkembar,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2386971