KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta disaran tampil memberikan sumbangan persekolahan bagi meringankan beban keluarga yang tidak berkemampuan.
Isteri Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata usaha itu dapat mengelakkan isu keciciran pelajar disebabkan masalah kewangan serta dilihat sebagai pelaburan masa depan negara.
“Negara kita sedang membangunkan pelbagai pendidikan terutama AI (kecerdasan buatan) dan digital, jadi apabila kita khususkan supaya anak-anak kita terdidik dalam bidang berkenaan, (tidak rugi) jika kita melabur sekarang.
“(Dalam jangka panjang) kita ada tenaga kerja dan kemahiran supaya orang yang melabur ini dapat (manfaat) … ini situasi menang-menang kepada semua,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan pada Program Kembali Ke Sekolah dan penyerahan sumbangan khas kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah-sekolah di Parlimen Bandar Tun Razak bagi 2025 di sini hari ini.
Seramai 1,000 pelajar sekolah menengah dan rendah di Parlimen itu menerima sumbangan beg daripada Yayasan MyPrihatin serta baucar pakaian bernilai RM100 oleh Amanah Iktiar Malaysia, Tenaga Nasional Berhad dan Yayasan Gerbang Bandar Tun Razak manakala 23 PIBG menerima sumbangan keseluruhan berjumlah RM115,000.
Terdahulu dalam ucapannya, Dr Wan Azizah menzahirkan kesyukuran atas kemurahan hati penyumbang untuk membantu golongan memerlukan sebagai antara usaha menjamin kebajikan dan kesejahteraan rakyat seiring agenda negara Membangun Malaysia MADANI.
Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim seorang yang amat mementingkan pendidikan dan sangat peka serta prihatin terhadap rakyat kurang berkemampuan dengan pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan memberi fokus kepada bidang pendidikan dan kebajikan sosial.
“Pendidikan tiket penting untuk mengubah kehidupan, jadi tanamkan sifat cintakan ilmu dalam diri masing-masing dan buat ibu bapa, berilah galakan dan sokongan sepenuhnya buat anak-anak untuk melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat tertinggi,” katanya.
-- BERNAMA