KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Pusat Pengajian Lanjutan Islam, Sains dan Ketamadunan Raja Zarith Sofiah (RZS-CASIS) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya menganjurkan Persidangan Diraja Berkenaan Islam dan Kemanusiaan, hari ini.
UTM dalam kenyataan memaklumkan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah yang juga Canselor UTM berkenan berangkat ke persidangan bertemakan 'Keadilan dalam Islam: Konsep, Sejarah dan Cabaran Masa Kini' serta menyampaikan titah diraja semasa sesi perasmian persidangan itu.
Persidangan selama dua hari bertempat di Dewan Azman Hashim, UTM Kuala Lumpur itu dihadiri lebih 500 peserta dan menyediakan platform dinamik untuk cendekiawan, pemimpin dan pengamal dari seluruh dunia untuk terlibat dalam perbincangan mendalam mengenai prinsip dan aplikasi keadilan dalam pandangan dunia Islam.
Naib Canselor UTM Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim dalam ucapan alu-aluannya menekankan kepentingan persidangan itu dalam memupuk dialog intelektual.
"Adalah mustahak untuk kita mengumpulkan cendekiawan, pemimpin dan pengamal untuk meneroka secara kritis keadilan dalam konteks sejarah dan kontemporari. Di UTM, kami komited memupuk perbincangan bermakna yang mempromosikan pemahaman dan kerjasama, serta menangani cabaran yang dihadapi oleh manusia dalam dunia pascamoden dan sekular," katanya.
Acara dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Penyandang Kursi Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam Pemikiran Islam Prof Dr Wan Mohamad Nor Wan Daud yang mengupas mengenai ‘Keadilan dalam Pemikiran Islam Kontemporari’.
Cendekiawan terkenal Turki Prof Dr Alparslan Acikgenc kemudian menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Keadilan dalam Wacana Teologi Islam’, yang seterusnya membuka kepada perbincangan bernas.
Persidangan itu turut menyaksikan pelancaran terjemahan bahasa Melayu buku Historical Facts and Fictions, oleh Profesor Diraja Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas, bertajuk ‘Sejarah Islam di Alam Melayu: Antara Fakta dan Rekaan’, yang diterjemahkan oleh Dr Khalif Muhammar A Harris.
Menambah signifikan kepada acara itu, QSR Brands (M) Holdings Bhd telah mengesahkan kerjasama mereka dengan RZS-CASIS dengan menukar RM1 juta daripada non-expandable endowmen sebelum ini menjadi expandable endowmen, yang bertujuan menyokong aktiviti dan inisiatif penyelidikan masa depan di pusat berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan QSR Brands Nehchal Khanna menyatakan keterujaannya terhadap kerjasama itu.
"Pada 2018, kami pada mulanya menyumbangkan non-expandable endowmen berjumlah RM2 juta, diikuti dengan RM2 juta lagi pada 2021. Tahun ini, QSR Brands berbangga untuk memperdalamkan lagi kerjasama kami dengan RZS CASIS UTM melalui MoA, dengan bersetuju bahawa RM1 juta daripada endowmen 2018 akan kekal non-expandable, manakala RM1 juta lagi akan ditukar menjadi expandable endowmen untuk aktiviti dan penambahan endowmen," katanya.
-- BERNAMA