KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia rendah semasa mengakhiri sesi pagi ini berikutan pelabur kekal berhati-hati menjelang pengumuman data ekonomi utama dan cuti Tahun Baru Cina.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 5.38 mata atau 0.34 peratus kepada 1,568.35 daripada 1,573.73 semasa ditutup Jumaat lepas.
Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah dengan merosot 0.42 mata kepada 1,573.31 dan bergerak antara 1,566.23 hingga 1,573.31 sepanjang sesi dagangan.
Sentimen pasaran turut negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 599 kepada 218 dengan 411 kaunter tidak berubah, 1,120 tidak diniagakan dan 60 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan sebanyak 1.43 bilion saham bernilai RM990.79 juta.
Malacca Securities Sdn Bhd berkata penggiat pasaran akan berhati-hati menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS) pada Rabu untuk memutuskan mengenai kadar faedah.
"Peniaga akan memantau dengan teliti data ekonomi utama termasuk pertumbuhan ekonomi AS, tuntutan pengangguran dan indeks Perbelanjaan Penggunaan Peribadi teras," katanya menerusi nota penyelidikan.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut enam sen kepada RM10.34 manakala CIMB dan Public Bank masing-masing naik dua sen kepada RM8.03 dan RM4.35.
Tenaga Nasional pula berkurangan enam sen kepada RM13.70 dan IHH Healthcare menambah empat sen kepada RM7.23.
MYEG dan Kinergy Advancement meneraju saham aktif, menyusut setengah sen kepada 95.5 sen dan 33 sen manakala Oriental Kopi berkurangan 1.5 sen kepada 83.5 sen.YTL Power rendah 25 sen kepada RM3.36 dan YTL Corp merosot 12 sen kepada RM2.00.
Di pasaran lebih luas, Indeks FBM Emas menyusut 51.58 mata kepada 11,984.01, Indeks FBMT 100 berkurangan 45.92 mata kepada 11,679.60 dan Indeks FBM Emas Syariah susut 53.20 mata kepada 11,861.68.
Indeks FBM ACE susut 63.42 mata kepada 5,147.11 dan Indeks FBM 70 berkurangan 91.77 mata kepada 17,814.58.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 3.23 mata kepada 18,893.26, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian rendah 1.30 mata kepada 167.39 dan Indeks Perladangan susut 43.39 mata kepada 7,376.06. Indeks Tenaga pula rendah 7.99 mata kepada 830.07.
-- BERNAMA