AM

Kenderaan Masuk Johor Meningkat 15 Peratus Tahun Baharu Cina Ini

27/01/2025 03:31 PM

JOHOR BAHRU, 27 Jan (Bernama) -- Jumlah kenderaan luar yang memasuki Johor dijangka meningkat antara 10 hingga 15 peratus sempena sambutan Tahun Baharu Cina termasuk menerusi Tambak Johor dan Linkedua.

Ketua Polis Johor Datuk M Kumar berkata peningkatan itu akan menyaksikan hingga 100,000 kenderaan memasuki negeri ini daripada semua laluan darat. 

"Kita jangka memang akan ada kesesakan termasuk di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri tetapi kita telah menyediakan pegawai dan anggota mencukupi untuk mengurangkan kesesakan. 

"Johor ini unik, selain 'kebanjiran' di lebuh raya kita juga fokus di kedua-dua pintu masuk BSI dan KSAB kerana 'kebanjiran' juga dijangka berlaku di dua lokasi ini namun tiada masalah, kita sudah bersiap siaga," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Johor Sempena Op Selamat sempena Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Kempas arah utara di sini hari ini. 

Kumar berkata pihaknya telah mengenal pasti 49 lokasi hotspot kerap berlaku kesesakan dan 31 lokasi blackspot kerap berlaku kemalangan yang akan diberi tumpuan sempena perayaan ini. 

"Kita telah mengatur gerak 1,767 orang melibatkan 208 pegawai dan 1,559 anggota meliputi pelbagai aspek penugasan termasuk 57 pegawai dan 579 anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik.

"Tumpuan penguatkuasaan adalah memandu melebihi had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, memotong Q, tidak mematuhi lampu isyarat dan menggunakan alat telekomunikasi semasa memandu," katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya melaporkan pergerakan cuti kepada pihak polis sebelum pulang ke kampung halaman menerusi Borang Maklumat Balik Kampung yang boleh diperoleh di balai polis berhampiran atau menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP). 

Pada 20 Jan lepas, Bernama melaporkan Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura menjangkakan aliran trafik tinggi di BSI dan KSAB bermula 24 Jan hingga 2 Feb sempena Tahun Baharu Cina ini. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2387049