JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Giat Kempen Kesedaran Dadah Di Sekolah Di Pulau Pinang

27/01/2025 04:53 PM

KEPALA BATAS, 27 Jan (Bernama) -- Polis menggiatkan kempen kesedaran berkaitan bahaya penyalahgunaan dadah di peringkat sekolah di negeri ini tahun ini berikutan terdapat peningkatan penggunaan bahan terlarang itu dalam kalangan pelajar sepanjang tahun lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata walaupun statistik menunjukkan peningkatan, ia masih terkawal dan pihaknya mengambil langkah segera bagi membendung kegiatan terbabit.

"Pada tahun lepas sebanyak 46 orang termasuk tiga pelajar perempuan terlibat dalam penggunaan dadah berbanding 21 orang termasuk seorang perempuan pada 2023. Terdapat peningkatan ketara jadi kita ambil langkah drastik tahun ini dengan meningkatkan kempen kesedaran di sekolah.

"Kita nak banteras di peringkat akar umbi khususnya dalam kalangan anak-anak sekolah kerana kita tahu apabila mereka terlibat dengan dadah, ia akan membawa kepada jenayah lain seperti kegiatan mat rempit," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan program Community Policing-Program Gempur Dadah Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas di sini hari ini.

Sementara itu, Hamzah berkata objektif utama program itu adalah untuk meningkatkan keberkesanan operasi dan serbuan bagi membanteras kegiatan pengedaran serta penyeludupan dadah selain meningkatkan kolaborasi dengan semua agensi, pertubuhan bukan kerajaan serta komuniti.

Bagi merealisasikan program yang bertujuan menangani masalah penyalahgunaan dan pengedaran dadah dengan lebih berkesan itu, beliau berkata pihaknya juga melaksanakan beberapa inisiatif penting antaranya memperkukuh operasi pemutihan kawasan panas, menangkap pengedar dan penyeludup dadah serta mempertingkatkan kerjasama dengan pelbagai pihak untuk banteras kegiatan itu.

"Satu daripada cabaran terbesar yang kita hadapi sekarang adalah ancaman penyalahgunaan dadah yang semakin meruncing kerana walaupun kita tidak dapat melihat musuh itu secara nyata, ia merosakkan kehidupan, meruntuhkan keluarga, masyarakat dan negara," katanya.

Beliau berkata Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang telah menunjukkan prestasi yang sangat membanggakan dalam usaha membanteras jenayah dadah antaranya peningkatkan jumlah tangkapan sebanyak 61 peratus pada tahun lepas iaitu 22,465 individu berbanding 13,937 pada 2023.

Sepanjang tahun lepas, JSJN Pulau Pinang juga berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM19.47 juta termasuk dua kes besar yang melibatkan rampasan 51.4 kilogram syabu bernilai RM1.67 juta.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2387140