JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Terengganu Kutip Lebih RM100,000 Saman Tertunggak

27/01/2025 02:46 PM

KUALA TERENGGANU, 27 Jan (Bernama) -- Polis Terengganu berjaya mengutip RM131,450 bayaran saman tertunggak dalam tempoh lapan jam bermula 10 pagi hingga 6 petang semalam.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata jumlah kutipan itu melibatkan penyelesaian 1,078 saman trafik selepas diberi diskaun 50 peratus sempena Kempen Keselamatan Jalan Raya Sambutan Tahun Baharu Cina 2025 di Dataran Shahbandar Kuala Terengganu.

Beliau berkata 434 daripada saman tersebut melibatkan notis PDRM (K) 257 berjumlah RM60,670 manakala bakinya bagi notis saman PDRM (K) 170 A berjumlah RM70,780.

"Kita telah membuka tiga perkhidmatan kaunter yang dikendalikan sembilan petugas sempena kempen keselamatan jalan raya semalam.

"Alhamdulillah, sambutan yang diterima daripada orang ramai amat menggalakkan. Masing-masing mengambil peluang membayar saman dengan kadar lebih rendah bagi mengelak kesukaran pada masa akan datang," katanya dalam kenyataan hari ini.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2387061