KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- ES Sunlogy Bhd yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia, menyasarkan untuk mengumpulkan sejumlah RM42 juta menerusi langkah tawaran awam permulaannya (IPO).
Pada sesi pelancaran prospektusnya secara maya hari ini, syarikat penyedia perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan elektrikal (M&E) serta penyelesaian tenaga boleh baharu (TBB) itu berkata IPO berkenaan meliputi usaha penerbitan 140 juta saham baharu pada harga 30 sen sesaham.
Memperincikan hasil pengumpulan dana itu, ES Sunlogy berkata sebanyak RM14.1 juta akan dimanfaatkan bagi tujuan pembangunan dan pembinaan loji Fotovoltan Suria Berskala Besar (LSSPV) Selarong.
Di samping itu, sejumlah RM14 juta akan digunakan untuk pembayaran balik pinjaman manakala RM9.2 juta bagi manyokong keperluan modal kerja am syarikat bagi menyokong operasi hariannya.
Sejumlah RM0.7 juta akan digunakan bagi pembelian sistem perancangan sumber perusahaan bagi meningkatkan kecekapan pengoperasian kumpulan secara menyeluruh dan RM4.0 juta bagi menampung perbelanjaan IPO.
ES Sunlogy menyasarkan untuk meraih permodalan pasaran sebanyak RM210 juta sejurus penyenaraian yang dijadualkan pada 20 Feb, 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif Sam Teo Chee Teong berkata pihaknya menjangkakan loji LSSPV Selarong itu dapat dikomersialkan menjelang akhir Disember 2025.
“Bagi loji Selarong itu, kami telah memulakan kerja-kerja tanah sejak Disember 2024 dan sasaran (untuk dikomersialkan) adalah menjelang akhir Disember 2025.
“Selain daripada loji Solar Junjong dan loji LSSPV Selarong, kami merancang untuk mendapatkan lebih banyak projek-projek solar, mengembangkan bahagian pasaran dan menyertai program solar berskala besar itu,” katanya.
Syarikat itu juga berhasrat untuk menyertai program Solar Berskala Besar5 (LSS5) untuk menjana perolehan hasil secara berterusan.
Bagi mengembangkan lagi kedudukannya dalam pasaran TBB, Teo berkata syarikat itu merancang untuk menyertai proses bidaan bagi program fotovoltan LSS.
Sementara itu dalam kenyataan, Pengarah Urusannya Khor Chuan Meng berkata IPO itu akan membolehkan syarikat melonjakkan lagi usaha dalam penyampaian penyelesaian kejuruteraan M&E berkualiti tinggi selain memacu agenda TBB Malaysia.
“Penyenaraian ini memaparkan komitmen jangka panjang kami terhadap aspek inovasi, kemampanan dan menyampaikan nilai jangka panjang kepada para pemegang kepentingan syarikat,” katanya.
M & A Securities Sdn Bhd berperanan sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO berkenaan.
-- BERNAMA