SUKAN

Tahun Baharu Cina: Cheong Min Buru Motivasi Kecemerlangan Di Tanjung Minyak

27/01/2025 05:00 PM

Oleh Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Setelah setahun tidak pulang ke kampung kerana terikat dengan jadual latihan dan pertandingan yang padat, ratu wusyu negara Tan Cheong Min teruja untuk menyambut Tahun Baharu Cina bersama keluarga di Tanjung Minyak, Melaka tahun ini.

Menurut Cheong Min, Tahun Baharu Cina kali ini lebih bermakna kerana ia adalah detik istimewa yang amat dinanti-nantikan untuk mengeratkan hubungan dan meluangkan masa bersama keluarga tercinta.

“Tahun lepas saya sibuk dengan pertandingan dan latihan di luar negara hingga tidak dapat pulang ke kampung selama setahun. Jadi tahun ini saya berhasrat untuk pulang ke kampung, menikmati perayaan Tahun Baharu Cina dan meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga.

“Kebiasaannya, pada Tahun Baharu Cina saya akan melawat saudara-mara, pergi ke rumah datuk dan nenek, berkumpul dengan sepupu dan keluar bersama-sama kawan. Ini adalah masa untuk betul-betul menikmati kebersamaan,” kata juara dunia dua kali itu ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Cheong Min, 26, yang merangkul pingat emas acara nangun pada Piala Dunia Taolu 2024 di Yokohama, Jepun, Oktober lepas berkata antara kenangan manis saat berkumpul bersama keluarga ialah menonton semula video pertandingan yang telah disertainya sepanjang tahun, seperti menonton tayangan filem.

“Saat paling menggembirakan apabila kami berkumpul, mereka (keluarga) akan bercakap tentang prestasi, keputusan dan pencapaian saya. Sokongan seperti itu sangat bermakna kerana memberi saya semangat untuk terus berusaha mencapai kejayaan yang diinginkan,” kata Olahragawati Kebangsaan 2019/2020 itu.

Masyarakat Cina akan menyambut Tahun Baharu Cina 2025 yang merupakan Tahun Ular mengikut kalendar lunar Cina, pada Rabu ini. 

Menurut Cheong Min, beliau kini giat berlatih bagi memperkemaskan kemahiran, rutin dan kombinasi pergerakan serta menyesuaikan diri dengan darjah kesukaran berbeza sebagai persiapan menjelang jendela pertandingan bermula Jun ini.

Beliau juga hampir pasti beraksi pada kejohanan Piala Asia Taolu di Jilin, China Julai ini dan World Games di Chengdu, China pada Ogos kerana telah berjaya melayakkan diri.

Bagi Kejohanan Wusyu Dunia yang dijadualkan berlangsung di Brazil pada September dan temasya Sukan SEA di Thailand pada Disember, beliau berkata ia tertakluk kepada proses pemilihan nanti.

“Jadi selain usaha untuk memperkemaskan rutin, kemahiran dan kombinasi pergerakan, fokus saya adalah untuk menambah baik prestasi sebab kalau saya dapat buat yang terbaik semasa proses pemilihan, mungkin saya berpeluang terpilih ke dua kejohanan lagi (Kejohanan Dunia dan Sukan SEA),” katanya.

Sebagai rekod, Cheong Min merangkul gelaran juara dunia 2017 di Kazan, Rusia dalam acara duilian sebelum menikmati gelaran keduanya pada 2019 di Shanghai, China dalam acara nandao.

Beliau terus menambah koleksi pencapaian di pentas antarabangsa antaranya kejayaan menyambar dua pingat emas pada Sukan SEA 2023 di Kemboja, pingat perak pada Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China dan pingat emas Kejohanan Wusyu Asia 2024 di Macau, September lepas.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2387146