DUNIA

Perancis Akan Tarik Balik Beberapa Sekatan Ke Atas Syria, Gesa Peralihan Politik

27/01/2025 08:11 PM

ISTANBUL, 27 Jan (Bernama-AA) -- Perancis mengumumkan pada Isnin yang ia akan menarik balik atau menggantung sekatan tertentu ke atas sektor tenaga, pengangkutan dan kewangan Syria untuk menyokong usaha penstabilan ekonomi dan pembinaan semula negara itu.

"Kami memutuskan hari ini untuk menarik balik atau menggantung sekatan tertentu yang menjejaskan sektor tenaga, pengangkutan atau kewangan yang kini menghalang kestabilan ekonomi negara dan permulaan proses pembinaan semula," kata menteri luar Perancis, Jean-Noel Barrot sempena mesyuarat Majlis Hal Ehwal Luar EU di Brussels.

"Penggantungan sekatan ini harus disertai dengan peralihan politik yang melibatkan semua rakyat Syria," kata Barrot sambil menekankan keperluan untuk tadbir urus inklusif, lapor Agensi Anadolu (AA).

Beliau juga menekankan kepentingan memastikan keselamatan di rantau itu.

"Langkah tegas harus diambil, terutamanya perjuangan tanpa henti menentang sebarang kebangkitan keganasan, bersama-sama dengan pengesanan, kawalan dan pemusnahan stok senjata kimia yang dipegang oleh rejim Assad," tambahnya.

Untuk mengukuhkan usaha ini, Perancis akan menganjurkan edisi ketiga Persidangan Aqaba pada 13 Feb.

Menurut Barrot, acara itu akan "menghimpunkan rakan kongsi antarabangsa Syria untuk memberikan sokongan dan memastikan pelaksanaan langkah peralihan politik dan jaminan keselamatan."

Ini bukan sahaja mengenai Syria, tetapi "ini melibatkan kebimbangan mengenai keselamatan warga Eropah dan Perancis," katanya.

-- BERNAMA-AA

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2387266