DUNIA

Hubungan Malaysia-Indonesia: Memperkukuh Hubungan Dua Hala Dan Kerjasama ASEAN

29/01/2025 08:32 PM

Oleh Wan Muhammad Aslah Wan Razali

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Malaysia dan Indonesia menjalin hubungan diplomatik yang unik dan berpanjangan, berakar umbi dalam hubungan sejarah, budaya dan ekonomi.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin, berkata sebagai anggota pengasas ASEAN, kedua-dua negara memainkan peranan penting dalam membentuk kestabilan dan pembangunan serantau.

Dalam program Bernama World terbitan Bernama TV, beliau menekankan kepentingan hubungan Malaysia-Indonesia yang terus berkembang serta peranannya dalam masa depan ASEAN.

Beliau berkata hubungan dua hala antara kedua-dua negara diperkukuh melalui lawatan yang kerap oleh pemimpin, menteri dan pegawai kanan.

"Terdapat keserasian yang baik antara Presiden Prabowo (Prabowo Subianto) dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (Sultan Ibrahim), begitu juga dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Keakraban ini akan membuka laluan kepada kerjasama dua hala yang lebih erat," katanya.

Menurutnya, hubungan antara pemimpin sangat penting, terutamanya dalam konteks Asia, yang mana ikatan diplomatik sering bergantung kepada hubungan peribadi.

Memandangkan kepentingan strategik Indonesia kepada Malaysia, kedua-dua negara telah mewujudkan rangka kerja dua hala yang menyeluruh dengan mekanisme kerjasama yang teratur.

Beliau turut mengakui bahawa harapan rakyat kedua-dua negara adalah tinggi, dengan keinginan untuk melihat kerjasama lebih mendalam serta hubungan diplomatik yang lebih kukuh pada masa hadapan.

Dalam kerangka ASEAN yang lebih luas, beliau menegaskan bahawa Malaysia dan Indonesia sebagai anggota pengasas memainkan peranan penting dalam memperkukuh kerjasama dan kestabilan serantau.

"Jika Malaysia dan Indonesia tidak mempunyai hubungan baik, ia akan menjejaskan usaha memperkukuh kerjasama serantau dalam ASEAN.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, hubungan kita kekal kukuh dan kita berkongsi banyak kepentingan bersama, sama ada di peringkat politik atau ekonomi. Ini menyumbang kepada kerjasama lebih erat di Asia Tenggara," katanya.

Beliau turut menyentuh isu geopolitik termasuk ketegangan di Laut China Selatan, dengan Malaysia dan Indonesia komited untuk menyelesaikan pertikaian secara aman melalui dialog.

Menurutnya, pendirian bersama antara kedua-dua negara memperkukuh peranan ASEAN dalam diplomasi antarabangsa.

Mengenai kerjasama keselamatan, beliau menekankan ancaman yang semakin berkembang akibat ideologi ekstremis dalam era digital.

"Cabaran keselamatan hari ini berbeza berbanding dahulu. Kemunculan media sosial telah membawa ancaman baharu kepada semua negara.

Kita bekerjasama dengan Indonesia dalam menangani ekstremisme, terutamanya kerana kita berkongsi bahasa yang sama," katanya.

Beliau menegaskan bahawa walaupun kedua-dua negara sudah lama menjalinkan kerjasama keselamatan, usaha berterusan diperlukan untuk membanteras “radicalisation”, khususnya di ruang siber.

Mengenai isu alam sekitar seperti jerebu rentas sempadan akibat kebakaran hutan di Sumatera, Syed Md Hasrin berkata Malaysia dan Indonesia telah mengambil langkah ketat untuk mengawal pembakaran terbuka serta menguatkuasakan dasar lebih tegas.

"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, insiden jerebu rentas sempadan berkurangan dengan ketara. Syarikat Malaysia yang beroperasi di Indonesia juga mematuhi undang-undang alam sekitar negara itu," katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan kerangka serantau ASEAN dalam menangani isu jerebu secara berterusan.

Dengan pemindahan ibu negara Indonesia ke Nusantara di Kalimantan, katanya, isu kelestarian alam sekitar menjadi lebih mendesak.

Menurut beliau, kerjasama pasca pandemik antara Malaysia dan Indonesia harus memberi keutamaan kepada pengurangan perubahan iklim dan langkah adaptasi bagi meningkatkan daya tahan alam sekitar.

Beliau turut berkata pencemaran maritim sebagai satu lagi bidang kerjasama, dengan kedua-dua negara boleh bekerjasama dalam pemuliharaan lautan serta pengurusan sisa untuk manfaat rantau ASEAN secara keseluruhan.

Ketika tenaga boleh diperbaharui semakin menjadi fokus utama dalam kerjasama Malaysia-Indonesia, Syed Md Hasrin menekankan potensi untuk memperluaskan kesalinghubungan elektrik antara kedua-dua negara.

"Sudah ada kerjasama dalam kesalinghubungan tenaga elektrik, dan terdapat potensi besar untuk tenaga hidro serta sumber tenaga boleh diperbaharui lain.

Kita juga ingin menyumbang kepada rangkaian tenaga ASEAN sambil menangani isu perubahan iklim," katanya.

Beliau menambah bahawa peningkatan kesalinghubungan – sama ada dalam tenaga, pengangkutan atau perdagangan – akan memberi sumbangan besar kepada pembentukan komuniti ASEAN yang lebih kukuh dan bersepadu.

Hubungan jangka panjang Malaysia dan Indonesia terus berkembang, dengan kedua-dua negara memberi keutamaan kepada kerjasama dalam pelbagai sektor termasuk keselamatan, kelestarian alam sekitar dan kesalinghubungan ekonomi.

Sebagai pemain utama dalam ASEAN, kerjasama mereka penting dalam memastikan kestabilan serantau, menangani cabaran baharu dan membina komuniti Asia Tenggara yang lebih kukuh serta bersatu padu.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2387793