PETALING JAYA, 28 Jan (Bernama) -- Seorang pengarah syarikat kawalan keselamatan dan suaminya masing-masing dijatuhi hukuman denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menjalankan perniagaan agensi persendirian tanpa lesen, tahun lepas.
Majistret Farah Azura Mohd Saad menjatuhkan hukuman itu ke atas V.Anbarasan, 47, dan isterinya K.Shoba Devi, 45, dan memerintahkan pasangan itu menjalani hukuman penjara tiga bulan, sekiranya mereka gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, pemegang saham, Anbarasan dan pengarah syarikat, Shoba Devi didakwa bersama-sama menjalankan perniagaan agensi persendirian tanpa mempunyai lesen seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 3(1) Akta Agensi Persendirian 1971.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pos Pengawal Badan Pengurusan Bersama (JMB) Kompleks Suria Kinrara, Puchong di sini pada 9.30 pagi, 21 Okt lepas, mengikut Seksyen 14 Akta Agensi Persendirian 1971 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian sepasukan pegawai Penguatkuasa dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri (KDN) membuat rondaan di kawasan berkenaan.
Hasil semakan Sistem Pengurusan Industri Keselamatan (eSIMS) KDN mendapati syarikat itu tidak berdaftar dengan agensi itu dan mendapati syarikat tersebut tidak mempunyai lesen yang dikeluarkan KDN bagi menjalankan perniagaan agensi persendirian.
Pegawai Pendakwa daripada Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN Siti Salmi Ashaari memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada syarikat kawalan keselamatan lain yang mana ia boleh menjejaskan keselamatan negara.
"Syarikat ini tiada lesen untuk menjalankan perniagaan pengawal keselamatan. Mereka mengambil pengawal keselamatan tanpa tapisan, sekiranya berdaftar dengan KDN pihak kami akan memeriksa dan melalui tapisan sama ada pengawal keselamatan mempunyai sejarah rekod lampau dan jenayah,” katanya.
Bagaimanapun, peguam Datuk Suraj Singh yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon hukuman denda dengan alasan mereka telah insaf serta berjanji tidak akan mengulangi perbuatan sama.
"Anak guam saya mempunyai dua anak masing-masing berusia 15 dan 16 tahun,” kata peguam itu.
-- BERNAMA