AM

TLDM Laksana 615 Operasi, Pastikan Semua Aset Berada Di KOM Sepanjang 2024

28/01/2025 03:45 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melaksanakan 615 siri operasi melibatkan enam operasi secara berterusan dan tiga operasi berkala selain memastikan aset pasukan itu berada di Kawasan Operasi Maritim (KOM) sepanjang 2024.

Panglima Tentera Laut (PTL) Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain berkata walaupun tahap kesiagaan TLDM masih berada di bawah sasaran iaitu 56.52 peratus berbanding 75 peratus yang ditetapkan, pencapaian itu tetap membuktikan bahawa Armada TLDM sentiasa siap siaga dan mampu menjalankan tugas diamanahkan.

“Bagi aspek pengurusan audit, secara keseluruhan 35 daripada 37 markas dan unit mencapai penarafan empat bintang dan ke atas iaitu bersamaan 94.59 peratus berbanding 97.22 peratus pada 2023.

“Peratusan ini jelas menunjukkan tahap kesiapsiagaan markas dan unit menurun tahun lepas, saya berharap pencapaian ini dapat dipertingkatkan pada 2025,” katanya dalam kenyataan Perutusan Tahun Baharu 2025 Panglima Tentera Laut hari ini.

Dalam aspek pengurusan kewangan pula, Zulhelmy berkata TLDM berjaya membelanjakan 100 peratus peruntukan yang diterima bagi 2024 iaitu sebanyak RM1.676 bilion manakala untuk 2025 pasukan itu menerima RM1.761 bilion dengan peningkatan berjumlah RM84.93 juta.

“Bagi memastikan perbelanjaan dioptimumkan, saya mahu setiap Pengurus Pusat Tanggungjawab merangka strategi dan rancangan perbelanjaan yang teliti bagi memastikan peruntukan ini dapat dibelanjakan sebaiknya serta berhemah,” katanya.

Dari segi pembangunan modal insan, Zulhelmy berkata sebanyak 420 pegawai dan 3,860 anggota lain-lain pangkat telah dinaikkan pangkat sepanjang 2024.

Beliau percaya kenaikan pangkat ini sesuai dengan komitmen dan pengorbanan yang telah dicurahkan oleh warga the Navy People terhadap perkhidmatan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2387428