EKONOMI

Pemberian Pembiayaan microLEAP Meningkat Kepada RM125 Juta Pada 2024

28/01/2025 05:35 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Platform pembiayaan rakan setara (P2P) microLEAP mencatatkan peningkatan 101 peratus tahun ke tahun dalam pengeluaran pembiayaan, melonjak kepada RM125 juta pada 2024 daripada RM62.18 juta pada 2023.

Dana itu disalurkan melalui skim Sarana menyasarkan untuk memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) dan kontraktor kecil Malaysia.

Daripada RM125 juta yang dikeluarkan pada 2024, sebanyak 207 nota pelaburan patuh Shariah telah dikeluarkan, menunjukkan permintaan yang semakin meningkat untuk penyelesaian pembiayaan beretika.

Sarana adalah skim pembiayaan alternatif yang ditawarkan oleh sembilan pengendali platform P2P berdaftar dengan SC di bawah sistem e-perolehan kerajaan.

microLEAP pula ialah salah satu daripada sembilan platform pembiayaan P2P berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang menyertai skim pembiayaan alternatif Sarana.

Melalui inisiatif ini, microLEAP menyediakan PKS dan kontraktor kerajaan dengan pilihan pembiayaan yang lebih pantas, lebih fleksibel termasuk pembiayaan invois dan kontrak pra-pembiayaan, membantu perniagaan menangani keperluan modal kerja dengan cekap.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif microLEAP Tunku Danny Nasaifuddin Mudzaffar menekankan kepentingan PKS kepada ekonomi Malaysia.

Beliau berkata banyak PKS menghadapi kesukaran untuk mengakses modal pertumbuhan dan platform seperti microLEAP merapatkan jurang, pada masa sama mengubah pembiayaan perniagaan.

“Khususnya pembiayaan invois, ia adalah pencetus perubahan untuk PKS dan kontraktor, menukar invois yang tidak dibayar kepada aliran tunai segera, memastikan perniagaan mempunyai modal kerja diperlukan untuk memenuhi kontrak, membayar pembekal, dan merebut peluang baharu,” katanya.

Sebagai satu-satunya platform pembiayaan P2P yang mempunyai cawangan pejabat di Sabah, Sarawak, Johor, Pulau Pinang dan Perak, microLEAP memastikan PKS di seluruh negara mempunyai akses kepada pembiayaan yang disesuaikan dengan keperluan khusus mereka tanpa mengira lokasi.

Untuk maklumat lanjut mengenai cara microLEAP boleh menyokong perniagaan anda menerusi skim pembiayaan Sarana, layari www.microleapasia.com.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2387463