AM

Agong Berkenan Terima Watikah Pelantikan Enam Perwakilan Asing

28/01/2025 06:07 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima watikah pelantikan enam ketua perwakilan asing ke Malaysia, di Istana Negara hari ini. 

Ketua perwakilan asing berkenaan ialah Radames Jesus Gomez Azuaje dari Venezuela, Shikata Noriyuki (Jepun), Chantal Gaby Moser (Switzerland) dan Dr Netra Prasad Timsina (Nepal).

Sultan Ibrahim turut berkenan menerima watikah pelantikan daripada Etueni Qiolele Caucau dari Republik Fiji dan Michael Wehi Mailetonga Walsh dari New Zealand.

Pada istiadat itu juga, Yang di-Pertuan Agong berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Ganeson Sivagurunathan.

Hadir sama pada istiadat berkenaan ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Ketua Setiausaha 1 Kementerian Luar Datuk Ahmad Rozian Abd Ghani. 

Sementara itu, Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan Ganeson pernah berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Austria dan Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta badan antarabangsa lain di Vienna, Austria (2018-2021) dan Duta Besar Malaysia ke Chile (2011-2015). 

Berkelulusan Ijazah Sarjana dalam bidang Pengajian Strategik dan Pertahanan dari Universiti Malaya, anak kelahiran Pahang itu pernah ditugaskan di Perutusan Tetap Malaysia ke PBB di New York, Amerika Syarikat dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Port Moresby, Papua New Guinea.

Di Kementerian Luar, beliau pernah menjawat jawatan Setiausaha Bahagian Asia Timur, Setiausaha Bahagian Afrika dan Setiausaha Bahagian Politik Pelbagai Hala, dengan jawatan terakhir sebagai Ketua Pengarah Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT) sejak 2021. 

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2387473