AM

Jemaah Menteri Ucap Selamat Tahun Baharu Cina, Seru Perpaduan Diperkukuh

28/01/2025 09:19 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Barisan Kabinet hari ini mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada masyarakat Tionghua yang akan menyambut perayaan itu esok, sambil menyeru agar perpaduan terus diperkukuh pada Tahun Ular ini.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang, melalui catatan di Facebook, mengajak rakyat mengeratkan hubungan dengan saling memahami, menghormati, dan menerima kepelbagaian budaya di Malaysia.

“Dengan semangat saling faham, hormat, dan terima, kita dapat membina sebuah negara yang lebih kuat, harmoni, dan makmur.

“Marilah kita teruskan tradisi ini dengan penuh kegembiraan, sambil mewujudkan sebuah Malaysia yang inklusif, di mana setiap lapisan masyarakat boleh hidup bersama dalam keharmonian,” katanya.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke, turut mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh rakyat Malaysia yang meraikannya dan mendoakan kegembiraan, kesihatan, serta kesejahteraan kepada semua.

“Dalam keadaan ketidaktentuan geopolitik dunia baru-baru ini, masyarakat majmuk Malaysia di mana pelbagai budaya dapat hidup secara harmoni antara satu sama lain adalah satu fenomena yang amat berharga dan perlu kita pelihara dengan sepenuh hati.

“Selamat bercuti dan nikmati masa bersama keluarga tercinta. Bersama-sama, kita bangunkan Malaysia yang lebih makmur, sejahtera, dan berjaya,” katanya melalui catatan di Facebook.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh turut mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina di Facebooknya dengan memuat naik poster berserta ucapan ‘Gong Xi Fa Cai everyone!’.

Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi Chang Lih Kang, menyifatkan perayaan ini sebagai simbol perpaduan dan kekuatan dalam kepelbagaian.

“Macam Yee Sang, setiap warna dan rasa melambangkan keunikan kita sebagai rakyat Malaysia. Gong Xi Fa Cai, semoga tahun ini membawa tuah, kebahagiaan, dan kejayaan kepada semua,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing, dalam ucapan Tahun Baharu Cina mendoakan agar rakyat Malaysia mendapat keberuntungan, kebahagiaan, dan kejayaan pada Tahun Ular ini.

“Semoga jalan yang anda lalui dipenuhi dengan rezeki yang melimpah, dan semoga Tahun Ular membawa anda keberkatan yang berpanjangan ! Selamat Tahun Baharu Cina kepada semua,” katanya.

Selain itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek turut menzahirkan ucapan selamat menyambut Tahun Baharu Cina kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Atas semangat ‘Jit Sin’ (pembaharuan setiap hari), kita memperbaharui diri kita dengan pembelajaran berterusan saban hari untuk menerokai kemungkinan baharu dan menyahut cabaran baharu,” katanya dalam ucapan menerusi laman Facebook.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu pula berkata perayaan Tahun Baharu Cina adalah simbol keharmonian, kasih sayang dan perpaduan antara pelbagai kaum yang membentuk asas kekuatan negara.

“Marilah kita terus memperkuat hubungan antara kaum dan membina Malaysia yang lebih aman, harmoni dan maju. Kepada semua yang akan memandu balik ke kampung halaman, Bang Mat berharap agar perjalanan anda selamat dan sentiasa berhati-hati di jalan raya,” katanya menerusi hantaran Facebook.

Menteri Digital Gobind Singh Deo menerusi Facebook turut mengajak rakyat untuk menghayati nilai-nilai kebijaksanaan, intuisi dan transformasi sempena menyambut Tahun Ular pada Tahun Baharu Cina ini, dan pada masa yang sama mencipta kenangan manis bersama orang tersayang.

Menerusi platform media sosial yang sama, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berharap agar tahun ini membawa keberuntungan dan kemakmuran kepada seluruh masyarakat.

Turut mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang berharap tahun baharu ini akan membawa kegembiraan, kekayaan dan kejayaan dalam segala aspek kehidupan kepada semua rakyat Malaysia.

“Semoga rumah anda dipenuhi dengan gelak tawa, hati dengan kasih sayang dan kehidupan anda dengan kedamaian serta keharmonian. Gong Xi Fa Cai!,” katanya menerusi hantaran Facebook.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2387480