AM

Raikan Tahun Baharu Cina Dengan Semangat Perpaduan, Kegembiraan Dan Kasih Sayang - TPM

28/01/2025 06:02 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Budaya dan tradisi dikongsi dalam kalangan rakyat bukan sahaja menjadi kekuatan, tetapi lambang kebanggaan bahawa Malaysia sebuah negara yang harmoni, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sambil mengucapkan selamat Tahun Baharu Cina yang akan disambut esok, Ahmad Zahid mengajak rakyat supaya bersama-sama meraikan semangat perpaduan serta menanamkan nilai saling menghormati.

“Marilah menjadikan Tahun Baharu Cina ini sebagai detik yang penuh makna dalam perjalanan kita membina sebuah Malaysia yang lebih makmur dan sejahtera.

“Walau apa pun latar belakang kita, kita semua adalah rakyat Malaysia. Selamat menyambut Tahun Baharu Cina 2025, saya ucapkan kepada seluruh rakyat Malaysia yang meraikannya!,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof turut mengajak rakyat meraikan sambutan Tahun Baharu Cina dengan penuh kegembiraan, semangat muhibah, toleransi serta kasih sayang bersama keluarga dan sahabat handai.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata nikmat perpaduan dan keharmonian kaum yang dinikmati di Malaysia, perlu disyukuri kerana ia asas kepada kestabilan, kesejahteraan serta kemakmuran negara.

“Semoga perayaan tahun ular ini mengeratkan lagi ikatan kekeluargaan dan perpaduan dalam kalangan kita serta membawa kebahagiaan yang melimpah, rezeki yang bertambah dan kejayaan kepada semua.

“Saya dan keluarga serta seluruh warga Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air dan juga Pusat Khidmat P194 Petra Jaya, mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina 2025,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2387481