DUNIA

Penasihat Keretapi Bangladesh Gesa Kakitangan Hentikan Mogok

28/01/2025 06:26 PM

DHAKA (Bangladesh), 28 Jan (Bernama-UNB) -- Penasihat Hal Ehwal Keretapi Bangladesh Muhammad Fouzul Kabir Khan menggesa kakitangan syarikat  pengendali keretapi untuk menghentikan mogok mereka, memberi jaminan bahawa perbincangan dengan Bahagian Kewangan sedang dijalankan untuk menangani tuntutan mereka, lapor United News of Bangladesh (UNB).

“Tuntutan mereka boleh difahami, tetapi "menahan penumpang sebagai tebusan" dengan menghentikan perkhidmatan keretapi adalah amat dikesali,” katanya ketika bercakap kepada pemberita di Stesen Keretapi Kamalapur di ibu negara pada pagi Selasa.

Fouzul Kabir berkata Kementerian Keretapi tidak mempunyai kuasa untuk menyelesaikan isu ini secara bebas. “Perkara ini terletak di bawah Bahagian Kewangan, dan perbincangan sedang dijalankan. Kami yakin penyelesaian akan dicapai tidak lama lagi.”

Mogok yang dimulakan oleh kakitangan keretapi bermula 12 tengah hari Isnin (27 Jan) telah melumpuhkan operasi keretapi di seluruh negara.

Pada pagi Selasa, Stesen Keretapi Kamalapur kelihatan sunyi dengan kaunter tiket yang biasanya sibuk dilihat agak lengang.

Penumpang, yang kebanyakannya tidak menyedari mogok itu, tiba di stesen dan hanya untuk menghadapi kesukaran. Keluarga yang ingin ke destinasi seperti Mymensingh, Netrokona, Rajshahi dan Cox’s Bazar pula terkandas dalam suasana pagi musim sejuk yang dingin.

Beberapa penumpang menyatakan kekecewaan mereka, menekankan kekurangan komunikasi awal mengenai gangguan itu. “Kami tidak tahu yang keretapi tidak akan beroperasi. Sekarang kami terperangkap di sini tanpa sebarang pengaturan alternatif,” kata seorang penumpang.

-- BERNAMA-UNB

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2387504