PUTRAJAYA, 29 Jan (Bernama) -- Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) akan melaksanakan Program Nikmat Untuk Rakyat PETRA (NUR@PETRA) dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM70 juta, dibiayai oleh Kementerian Kewangan dan dana Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik (AAIBE).
Program NUR@PETRA ini merupakan kesinambungan daripada kejayaan pelaksanaan Program Sustainability Achieved Via Energy Efficiency (SAVE) yang sebelum ini, hanya tertumpu kepada pengguna elektrik domestik.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof berkata program ini dijenamakan semula dan diperluaskan manfaat kepada kepada sektor industri, komersial serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi menggalakkan penggunaan peralatan cekap tenaga.
Dalam kenyataan hari ini, Fadillah berkata program NUR@PETRA menawarkan tiga kategori e-rebat iaitu, kategori pertama dikhaskan untuk pengguna domestik dengan tawaran e-rebat sehingga RM400 untuk pembelian penyaman udara atau peti sejuk cekap tenaga berlabel empat atau lima bintang oleh Suruhanjaya Tenaga (ST). Sebanyak 200,000 unit rebat disediakan berdasarkan konsep ‘siapa cepat, dia dapat’.
"Kategori kedua dikhaskan untuk PMKS dengan pemberian e-rebat sehingga RM4,000 bagi pembelian penyaman udara atau peti sejuk cekap tenaga berlabel empat atau lima bintang. DIjangka hampir 1,250 premis PMKS akan mendapat manfaat daripada program itu.," katanya.
Kategori ketiga pula menawarkan e-rebat khas untuk pembelian pendingin (chiller) cekap tenaga bagi kegunaan penyaman udara (comfort cooling) sahaja. Lebih 300 entiti perniagaan dijangka menerima manfaat ini dalam sektor industri dan komersial.
Fadillah menjelaskan bahawa permohonan e-rebat untuk Program NUR@PETRA bagi kategori pertama akan mula dibuka pada 31 Jan ini, kategori kedua mulai 15 Feb manakala permohonan rebat untuk kategori ketiga akan dibuka pada 1 Mac.
Menurut Fadillah, pelaksanaan Program NUR@PETRA mampu menjimatkan penggunaan tenaga elektrik sebanyak 3,910 Gigawatt jam bersamaan dengan RM2.23 bilion bagi tempoh 10 tahun, serta menyumbang kepada pengurangan sebanyak 3.0 juta tan karbon dioksida, tertakluk kepada jangka hayat dan kecekapan pengoperasian peralatan berkenaan.
Maklumat lanjut mengenai kriteria, kelayakan, cara permohonan, mekanisme pelaksanaan serta senarai jenama dan model kelengkapan elektrik cekap tenaga di bawah Program NUR@PETRA boleh didapati dengan melayari laman sesawang rasmi di pautan www.seda.gov.my/nur.
-- BERNAMA