TELUPID, 31 Jan (Bernama) -- Penduduk menyifatkan banjir yang melanda enam kampung di Mukim Nangoh di sini sebagai luar biasa berikutan air naik dengan begitu cepat, meskipun hujan tidak begitu lebat.
Keadaan ini menyebabkan kebanyakan penduduk kampung tidak sempat menyelamatkan barangan mereka dan terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) dengan segera.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Ganah Jati, Rudi Addy, 39, berkata keadaan banjir tahun ini disifatkan sebagai 'dasyat' kerana air naik begitu deras dan 85 peratus rumah di kampung tersebut dinaiki air.
“Rata-rata penduduk terjejas pendapatan mereka kerana tidak dapat memungut hasil sawit akibat banjir. Kami semua bukan orang kaya, jadi apabila banjir ini berlaku, pendapatan kami turut terjejas,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah melaporkan bahawa jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 5,617 orang daripada 1,899 keluarga setakat 8 pagi ini, dengan 39 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka. Di Telupid, 413 mangsa daripada 110 keluarga dipindahkan ke lima PPS.
Sementara itu, Pemaju Mukim Nangoh, Silvester Amat, 40, berkata banjir pada tahun ini teruk berbanding banjir besar pada tahun 2022, malah lebih ramai penduduk terjejas.
"Saya sudah memaklumkan kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) serta agensi berkaitan untuk bantuan serta operasi menyelamat penduduk kampunG terjejas.
"Mukim Nangoh mempunyai 11 kampung, namun enam daripadanya terjejas banjir kerana terletak di kawasan rendah. Kami memohon agar bantuan segera diberikan," katanya lagi.
Penduduk Kampung Ganah Jati, Aninah Abdullah, 73, sebak ketika berkongsi mengenai situasi banjir yang menyebabkan barang-barang rumah termasuk peti sejuk dan mesin basuh rosak akibat ditenggelami air.
Malahan, Aninah yang tinggal bersama dua cucunya berkata barang jualan kecil-kecilan seperti maggi dan keropok serta rak jualan dihanyutkan banjir.
"Tolong bantu kami, sekarang kami tinggal di PPS dan tidak tahu bagaimana mahu kembali ke rumah. Keadaan rumah terlalu teruk, kalau saya fikir tidak selamat didiami, sebab lantai rumah saya daripada plywood, mahu masuk kaki ke dalam. Saya pun tiada pendapatan, harap pada jualan kecil-kecilan tapi itu pun dihanyutkan.
"Saya harap kerajaan memberi bantuan, ada juga anak-anak di rumah tetapi rumah mereka pun kena banjir, mereka juga ada tanggungan sendiri," katanya.
-- BERNAMA