AM

Perpaduan Dan Nilai Kekeluargaan Teras Kemajuan Wilayah Persekutuan - Zaliha

31/01/2025 08:36 PM

PUTRAJAYA, 31 Jan (Bernama) -- Di sebalik pembangunan dan kemodenan Wilayah Persekutuan yang merangkumi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, tersemat semangat perpaduan dan nilai kekeluargaan di setiap sudutnya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata Wilayah Persekutuan bukan sekadar tempat tinggal malah menjadi tempat bagi pelbagai lapisan masyarakat untuk membina impian dan mencipta kenangan bersama.

“Di sini, setiap jalan yang kita lalui, setiap bangunan yang menjulang tinggi semuanya berdiri teguh kerana usaha dan keringat kita bersama.

“Namun, kemajuan tidak pernah bermakna jika hati kita kosong dan jiwa kita terpisah. Apa yang membuatkan Wilayah Persekutuan ini istimewa, bukan sekadar kemodenannya, tetapi semangat perpaduan dan nilai kekeluargaan yang kita sematkan di setiap sudutnya,” katanya dalam perutusan sempena Hari Wilayah Persekutuan 2025 yang bertemakan ‘Wilayah Persekutuan Kita’.

Hari Wilayah Persekutuan disambut pada 1 Feb setiap tahun bagi memperingati pengisytiharan Kuala Lumpur sebagai Wilayah Persekutuan pada 1 Feb 1974, Putrajaya (1 Feb 2001) dan Labuan (16 April 1984) dan tahun ini merupakan sambutan kali ke-21 sejak penganjuran sambutan kali pertama pada 2004.

Dr Zaliha berkata Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya masing-masing mempunyai kisahnya yang tersendiri, iaitu sebagai jantung ekonomi negara, permata perairan (Labuan) yang menjadi pintu kepada peluang antarabangsa dan pusat pentadbiran Malaysia.

“Tetapi, di sebalik bangunan tinggi dan jalan yang sibuk, kita semua adalah jiwa-jiwa yang saling menyokong, saling membantu dan saling menjaga. Apa maknanya sebuah kota besar jika penghuninya tidak berpegang kepada nilai kemanusiaan dan kasih sayang.

“Hari ini, saya ingin mengajak kita semua untuk melangkah ke hadapan dengan hati yang terbuka. Bersama kita bawa kebaikan dan semangat baharu kepada semua penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya,” katanya.

Dr Zaliha dalam pada itu turut mengajak penduduk Wilayah Persekutuan untuk membuktikan bahawa kemajuan bukan hanya tentang bangunan yang megah tetapi juga menerusi nilai murni dan tradisi yang dipegang erat tidak kira di mana.

“Percayalah, setiap usaha kecil itu memberi impak besar. Senyuman yang kita berikan, sampah yang kita kutip, jiran yang kita tegur, semuanya menyumbang kepada membentuk komuniti yang lebih baik.

“Wilayah Persekutuan ini adalah rumah kita dan rumah yang bahagia terhasil daripada cinta, hormat dan rasa tanggungjawab bersama,” katanya yang mengakhiri perutusan itu dengan ucapan ‘Selamat Menyambut Hari Wilayah Persekutuan 2025’.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2388266