MOSCOW, 31 Jan (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengancam untuk mengenakan tarif 100 peratus ke atas negara BRICS sekiranya blok itu mencipta mata wang baharu, lapor Sputnik/RIA Novosti.
"Idea untuk negara BRICS cuba beralih daripada dolar, sementara kami hanya melihat, sudah berakhir. Kami akan menuntut komitmen daripada negara yang kelihatan bermusuhan ini agar mereka tidak akan mencipta mata wang BRICS baharu atau menyokong mana-mana mata wang lain untuk menggantikan dolar AS, jika tidak, mereka akan berdepan tarif 100 peratus dan boleh mengucapkan selamat tinggal kepada ekonomi AS," kata Trump di Truth Social.
Beliau menegaskan, tiada kemungkinan dolar AS boleh digantikan dalam perdagangan antarabangsa.
"Tiada peluang BRICS akan menggantikan dolar AS dalam perdagangan antarabangsa atau di mana-mana sekalipun dan mana-mana negara yang mencuba harus bersedia berdepan tarif dan mengucapkan selamat tinggal kepada Amerika!" tulis Trump.
Laporan terdahulu menyatakan bahawa negara-negara BRICS membincangkan kemungkinan mengembangkan penyelesaian dalam mata wang negara dan mencipta mata wang bersama dalam blok tersebut, tetapi tiada keputusan muktamad dibuat mengenai isu itu.
BRICS ialah sebuah blok antara kerajaan yang ditubuhkan pada 2006 oleh Rusia, China, India dan Brazil, dengan Afrika Selatan menyertai pada 2011. Sejak awal 2024, beberapa negara lain turut menyertai BRICS.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI