GAYA HIDUP

Gadis Kembar Berkongsi Kerjaya Pelukis Mural

01/02/2025 10:08 AM

Oleh Mohd Afiq Zulkifli

KUALA LUMPUR, 1 Feb (Bernama) -- Pasangan kembar Elyana Sazlin dan Elyana Sazwin Magbanua bukan sahaja memiliki wajah seiras tetapi juga berkongsi minat dan bakat seni yang sama, membawa mereka ke dunia seni visual khususnya mural.

Berbekalkan bakat itu dan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Seni Visual, pasangan kembar berusia 28 tahun ini mengorak langkah dalam bidang berkenaan dengan menubuhkan  LE’SIBS Art, menawarkan kepakaran seni mural khususnya untuk pelanggan di Sabah.

Mengimbas semula penglibatan mereka dalam bidang seni lukis, Elyana Sazlin dan Elyana Sazwin yang menetap di Kinarut, Papar, berkata sejak di bangku sekolah rendah lagi mereka kerap menyertai pertandingan melukis dan mewarna. 

pic-2

Bakat itu diasah di peringkat universiti menerusi kursus yang diambil mereka di Universiti Malaysia Sabah. 

“Selepas tamat pengajian universiti, kami merancang melukis mural secara sukarela untuk menceriakan dua sekolah lama kami, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekan Kota Belud Dua dan SMK Tenghilan, Tuaran sebagai tanda penghargaan kepada guru-guru kami dulu.

“Tanpa disangka mural yang pertama kali kami hasilkan sebagai motivasi pelajar itu mendapat maklum balas positif dan ramai yang menghubungi kami bertanya tentang khidmat kami selepas mural tersebut dimuat naik ke media sosial,” katanya kepada Bernama baru-baru ini. 

pic-3

Selepas karya mereka semakin mendapat sambutan, Elyana Sazlin berkata mereka sepakat mengorak langkah menubuhkan LE’SIBS Art pada 2021 bagi menjadikan perkhidmatan mereka lebih tersusun dan profesional.

Menurutnya, karya mural yang dihasilkan mereka adalah berbentuk separa realistik dan dapat dilihat di kebanyakan daerah di Sabah, meliputi dinding bangunan kerajaan, perumahan, masjid, tempat tarikan pelancong dan rekreasi seperti Borneo Ant House di Tuaran dan Cabana Retreat di Kota Belud.

“Dari 2021 hingga kini kami telah menyiapkan lebih daripada 300 karya mural dengan pelbagai konsep seperti flora dan fauna, bawah air, tiga dimensi, abstrak, kenderaan, corak kebudayaan Sabah dan makanan,” katanya yang turut menawarkan perkhidmatan cat bangunan, servis melukis wajah dan inai.

pic-4

Sementara itu, Elyana Sazwin berkata walaupun pasangan kembar, adakala mereka juga bercanggah pendapat tentang pelaksanaan sesuatu projek.

“Ini lumrah dan tidak menjejaskan kualiti kerja. Kami saling menyumbang idea dan menghasilkan reka bentuk. 

“Ada masa saya beri idea manakala kakak (Elyana Sazlin) pula yang mencipta reka bentuk. Kedua-dua kami saling bergantung untuk menghasilkan idea-idea kreatif bagi sesuatu projek mural,” katanya.

pic-5

Menyentuh cabaran terbesar yang dihadapi setakat ini, Elyana Sazwin menamakan projek mural yang mengangkat keunikan warisan dan alam semula jadi pada dinding bangunan kedai dengan ketinggian sembilan meter, iaitu setinggi bangunan empat tingkat, dan 15 meter lebar di Kuala Penyu.

“Kebiasaannya kami menggunakan perancah (scaffolding) setinggi dua tingkat, tapi untuk projek ini terpaksa guna yang lima tingkat. Bukan itu sahaja, khidmat lori skylift juga digunakan bagi membantu memudahkan pergerakan kami ketika proses melukis mural,” katanya, menambah ia memakan masa lapan hari untuk disiapkan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2388341