AM

Banjir Sabah Dan Sarawak: Bank Muamalat Tawar Moratorium Hingga Enam Bulan

01/02/2025 01:30 PM

KUALA LUMPUR, 1 Feb (Bernama) -- Bank Muamalat Malaysia Berhad menawarkan bantuan khas banjir kepada pelanggan yang terjejas dengan banjir di Sabah dan Sarawak.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Khairul Kamarudin dalam kenyataan hari ini berkata bantuan itu merangkumi moratorium sehingga enam bulan untuk semua pembiayaan individu dan perniagaan serta penggantian kad debit dan kad kredit tanpa sebarang bayaran.

Beliau berkata pihaknya amat prihatin terhadap kesulitan yang dihadapi pelanggan dan berharap bantuan khas banjir berkenaan dapat memberi kelegaan kepada mereka yang terlibat.

“Sebagai sebuah institusi perbankan Islam penuh yang sentiasa komited dalam mencipta ‘Kehidupan Lebih Baik, Bersama’ pelanggan, kami bertanggungjawab memainkan peranan penting dalam menyokong dan membantu komuniti menempuhi waktu getir ini,” katanya. 

Khairul berkata pelanggan yang menghadapi kesulitan kewangan berikutan bencana berkenaan boleh memohon bantuan khas dengan memuat turun borang permohonan Service Request Form (SRF) di laman sesawang Bank Muamalat di www.muamalat.com.my dan menghantar dokumen sokongan berkaitan menerusi emel bantuanbanjir@muamalat.com.my.

Beliau berkata langkah proaktif akan diambil bagi memastikan proses dokumentasi dan kelulusan permohonan dipermudahkan.

Pelanggan yang ingin mendapatkan khidmat nasihat boleh mengunjungi cawangan Bank Muamalat terdekat atau menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan di talian 03-2600 5500.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2388382