AM

Masyarakat Diseru Berganding Bahu Pastikan Kemajuan Negara Berterusan - Fahmi Fadzil

01/02/2025 11:59 AM

KUALA LUMPUR, 1 Feb (Bernama) -- Sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyeru masyarakat khususnya warga Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan untuk terus berganding bahu memastikan kemajuan yang diraih negara ketika ini dapat diteruskan serta memberi manfaat kepada generasi akan datang.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai menerusi hantaran di Facebook sempena sambutan itu berkata Wilayah Persekutuan menjadi simbol kepada kemakmuran Malaysia.

“Hari ini kita memperingati penubuhan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan. Wilayah Persekutuan bukan sahaja pusat kepada pembangunan negara, tetapi juga simbol perpaduan dan kemakmuran Malaysia,” katanya.

Hari Wilayah Persekutuan disambut pada 1 Feb setiap tahun bagi memperingati pengisytiharan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan dan tahun ini merupakan sambutan kali ke-21 sejak diperkenalkan pada tahun 2004.

Sambutan Hari Wilayah Persekutuan tahun ini bertemakan ‘Wilayah Persekutuan Kita’.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2388373