AM

Banjir Bintulu: Mangsa Cemas Saat Air Naik

01/02/2025 06:55 PM

Oleh Zaphne Philip

KUCHING, 1 Feb (Bernama) -- Dalam kegelapan dinihari tanpa sebarang amaran, air mula naik perlahan-lahan. Pada mulanya, kami menyangka air hanya bergenang seperti biasa di sekeliling rumah, namun menjelang pukul 4 pagi, lantai rumah sudah mula ditenggelami air.

Demikian perkongsian salah seorang mangsa banjir di Bintulu, Helen Naja, 31, yang mengalami detik mencemaskan bersama keluarganya.

"Ketika itu, kedua-dua anak saya - seorang bayi berusia sebulan dan seorang lagi berusia empat tahun -sedang lena tidur. Dalam keadaan panik saya dan suami hanya mampu berpandangan. Adakah air akan surut, atau adakah kami perlu segera menyelamatkan diri?" katanya.

Namun, jawapan kepada persoalan itu datang dengan pantas.

"Air tidak menunggu lama. Dalam sekelip mata, ia naik mendadak hingga paras lutut. Saya segera mendukung bayi saya, sementara anak sulung saya hanya sempat dibalut dengan selimut tebal. Kami berdoa agar sempat berpindah ke tempat selamat,"

“Ketika kejadian kami cuba menghubungi bomba, mengharapkan bantuan tetapi jawapan mereka mengecewakan, mereka sedang sibuk dengan banyak panggilan kecemasan lain. Tanpa pilihan lain, kami terpaksa bertindak sendiri,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Dengan air yang semakin meningkat hingga paras dada, keluarga Helen bersama penduduk di kawasan perumahan Pearl Garden, Jalan Sibiyu, segera berpindah ke kawasan bukit yang lebih tinggi untuk menyelamatkan diri sementara menunggu bantuan.

"Namun, keadaan tidak membaik. Kami tiada tempat berteduh, tiada makanan dan hanya berlindung dalam kereta sambil menunggu hari siang. Lebih menyedihkan, air banjir masih belum menunjukkan tanda-tanda surut," katanya.

“Pada 30 haribulan, hari Khamis, air akhirnya mula surut. Namun, kepulangan ke rumah membawa kepedihan yang sukar digambarkan,”

"Sangat memilukan. Semua harta benda rosak, kenangan musnah dalam sekelip mata. Lebih menyayat hati, kucing kesayangan kami juga mati. Kami hanya mampu menangis tanpa air mata, berharap ada sinar harapan di sebalik musibah ini," katanya dengan nada sayu.

Helen berkata penduduk di kawasan perumahan itu berharap pihak berwajib segera menghulurkan bantuan asas seperti beras dan tilam, kerana hingga kini, mereka masih belum menerima sebarang bantuan.

-BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2388467