ISKANDAR PUTERI, 2 Feb (Bernama) -- Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) Hector Bidoglio sedia berdepan dengan mana-mana pasukan pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2025 kerana skuad bimbingannya sentiasa memberikan yang terbaik.
JDT telah mengesahkan tempat ke final dan dalam misi menjulang Piala Malaysia kelima mereka, selepas menewaskan Terengganu FC (TFC) dengan agregat 6-1 dalam separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim di sini, semalam.
Harimau Selatan menanti lawan mereka iaitu pemenang daripada satu lagi perlawanan separuh akhir kedua membabitkan Sri Pahang FC menentang Sabah FC yang akan berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, malam ini.
Menurut Bidoglio, paling utama ketika ini adalah untuk pasukan JDT kekal fokus dan terus meningkat.
“Kita perlu menjadi pasukan yang menguasai bola,meningkatkan dinamik dan intensiti kita.
“Sebelum ini, kita tahu perlawanan separuh akhir sentiasa sukar untuk kami tetapi prestasi pasukan kali ini sangat baik dan kita perlu terus meningkat,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia.
Beliau berkata sebagai pasukan berpengalaman, JDT perlu sentiasa bersedia untuk berdepan dengan mana-mana pasukan dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2025.
Sementara itu, ketua jurulatih TFC Badrul Afzan Razali tetap bangga dengan komitmen barisan pemainnya yang mampu menyaingi kehebatan pemain JDT meskipun tewas 1-2 dalam perlawanan pusingan kedua separuh akhir Piala Malaysia.
“Kita tahu sukar nak beraksi di stadium JDT ditambah pula ketinggalan 0-4 tapi saya menzahirkan rasa berpuas hati kepada pemain yang menunjukkan semangat juang tinggi pada babak pertama dan kedua permainan.
“Walaupun kita berjaya mengikat 1-1 di babak kedua tapi minit akhir permainan kita hilang konsentrasi dan membuka ruang buat pemain JDT menjaringkan gol yang merupakan gol kemenangan mereka. Memang perit kerana jangkaan kita akan tamatkan perlawanan dengan keputusan seri,” katanya.
Pada aksi itu, JDT memulakan jaringan pada minit ke-31 hasil jaringan Heberty Fernandes namun TFC menyamakan kedudukan 1-1 hasil jaringan Ismaheel Akidane pada minit ke-49 dan ketika skuad Penyu tampak ingin menamatkan permainan dengan keputusan seri, Heberty memusnahkan impian kelab dari Pantai Timur selepas menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan.
-- BERNAMA