Oleh N.Kuvineshwaren & Vishvani Kumar
KAJANG, 2 Feb (Bernama) -- Perayaan Thaipusam yang disambut oleh penganut Hindu mempunyai keunikan tersendiri dengan ciri utamanya ialah kehadiran penganut membawa kavadi pelbagai bentuk termasuk belanga berisi susu.
Kavadi burung merak atau mayil kavadi antara yang sinonim dengan sambutan Thaipusam sejak sekian lama, dan di Kajang, Selangor, K. Sevaraja, seorang ejen hartanah dan artisan kavadi sambilan, tidak menang tangan menghasilkan kavadi itu bagi memenuhi permintaan bersempena dengan perayaan tersebut pada 11 Feb ini.
Kavadi, bahasa Tamil yang bermakna “beban”, adalah struktur melengkung dipikul pada bahu penganut, dibawa sebagai tanda kecintaan dan kesyukuran terhadap Dewa Murugan atas pengabulan doa atau hajat mereka.
pic-2
Sevaraja, 55, komited terhadap pembuatan kavadi burung merak, kerana dalam agama Hindu haiwan itu dianggap tunggangan Dewa Murugan.
Beliau berkata minatnya dalam pembuatan kavadi burung merak tidak berubah sejak mewarisi ilmu pembuatan struktur itu daripada mendiang bapanya 26 tahun lalu. Kini, legasi keluarga tersebut diteruskan bersama-sama dengan anak lelakinya Satish Raj, 26 serta sekumpulan kecil pekerja yang komited terhadap pemeliharaan warisan berkenaan.
“Sejak awal, saya hanya menumpukan perhatian pada pembuatan kavadi yang dihiasi bulu burung merak kerana ia tradisi asal. Kavadi burung merak lebih asli dan tampak menyerlah berbanding lain-lain,” kata Sevaraja kepada Bernama.
Keluarganya menyediakan kavadi khususnya untuk disewa oleh penganut yang meraikan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, Selangor. Bagi menghormati sisi spritual pembuatan kavadi, Sevaraja, anaknya dan pembantu mereka mengamalkan diet vegetarian yang ketat sepanjang proses pembuatan.
“Saya ikuti diet vegetarian selama 48 hari, sementara anak saya pula 108 hari. Kami juga tidak mengambil sebarang bahan memabukkan sepanjang tempoh ini,” tambahnya.
pic-3
Di sebalik minat yang semakin pudar dalam kalangan generasi muda terhadap pembuatan kavadi, Satish Raj berazam untuk memelihara seni itu serta tradisi keluarganya.
Katanya, membuat dan menyelenggara setiap kavadi bukan tugas mudah. Kebanyakan pembuat kavadi menggunakan sama ada getah atau stirofoam untuk membentuk struktur. Satish Raj yang lebih suka menggunakan getah kerana ketahanannya, berkata kavadi yang diperbuat daripada stirofoam mudah rosak dan perlu sentiasa dibaiki.
“Kavadi kami kukuh. Kami tambah span sebagai pelapik agar terletak selesa pada bahu penganut,” katanya.
pic-4
Bagi menyerlahkan lagi warna-warni kavadi merak, keluarganya memasang lampu LED pada struktur yang menjadikan kavadi itu begitu cantik pada waktu malam.
Bahan utama dalam pembuatan kavadi ialah rotan, getah, stirofoam, kepingan kayu, bulu burung merak serta batang logam selain elemen-elemen hiasan. Setiap komponen dipilih dengan hati-hati bagi memastikan kavadi itu tahan lama dan juga cantik memukau.
Tahun ini, mereka mengenakan kadar sewa antara RM800 dan RM1,300 bagi sebuah kavadi, bergantung pada saiz dan reka bentuk.
pic-5
Pada perayaan Thaipusam tahun ini, keluarga Sevaraja menerima lebih 40 tempahan untuk kavadi burung merak berasaskan getah dan lebih 20 tempahan bagi kavadi burung merak berasaskan stirofoam dengan sesetengah tempahan datang dari luar negara termasuk Afrika Selatan dan Mauritius.
Kali ini mereka turut dibantu oleh dua orang sukarelawan, iaitu pelajar jurusan elektronik daripada Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara di Hulu Langat, Selangor – A. Manikandan dan T. Dhenesh Raaj, kedua-duanya 21 - yang ingin belajar cara-cara membuat kavadi.
-- BERNAMA