JENAYAH & MAHKAMAH

PGA Gagalkan Cubaan Seludup Tanaman Hiasan Bernilai RM125,000

02/02/2025 10:42 PM

KOTA BHARU, 2 Feb (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menggagalkan cubaan menyeludup masuk tanaman hiasan dari negara jiran yang dianggar bernilai RM125,000 selepas menahan sebuah lori di Lalang Pepuyu, Tanah Merah hari ini.

Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata lori terbabit ditahan dalam sekatan jalan raya kira-kira 5 pagi oleh anggota Batalion 9 PGA yang menjalankan Op Taring Wawasan.

"Hasil pemeriksaan dalam lori dipandu lelaki berusia 25 tahun itu menemukan pelbagai anak pokok jenis Bromeliad dipercayai diseludup dari Thailand.

“Lelaki itu dipercayai menjadi penghantar tanaman terbabit ke pasaran tempatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta167) manakala lelaki itu beserta barang rampasan dibawa ke Komtak PGA Taman Bakti dan Jabatan Pertanian Kota Bharu untuk siasatan lanjut.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2388659