SUKAN

Piala Malaysia: Sri Pahang Atasi Sabah 3-2, Bakal Cabar JDT Di Pentas Final

03/02/2025 12:23 AM

TEMERLOH, 2 Feb (Bernama) -- Juara empat kali, Sri Pahang FC berjaya menamatkan penantian sedekad untuk menempah tiket ke pentas final Piala Malaysia 2024/2025 dengan agregat 3-2 selepas menewaskan Sabah FC 2-1 pada aksi separuh akhir dii Stadium Majlis Perbandaran Temerloh di sini, malam ini.

Jaringan masa tambahan Kpah Sherman memberikan Sri Pahang kemenangan 2-1 pada aksi timbal balik untuk berdepan juara bertahan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada final di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 26 April nanti.

Kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada separuh akhir pertama di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada 18 Jan lepas.

Pada aksi hari ini, skuad Tok Gajah yang mula mengatur langkah agresif sejak wisel permulaan, terlepas peluang untuk mendapatkan pendahuluan seawal minit ke-15 apabila percubaan merbahaya Sherman dengan sepakan deras dari luar kotak penalti, sedikit melepasi gawang Sabah.

Sri Pahang akhirnya memecahkan kebuntuan pada minit ke-72, apabila pemain pertahanan Sabah, Park Tae Su menanduk masuk hantaran Muhammad Baqiuddin Shamsuddin ke dalam gawang sendiri.

Skuad The Rhinos, bagaimanapun, pantas menyamakan kedudukan menerusi jaringan S. Kumaahran pada minit ke-77 untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan dengan keputusan agregat terikat 2-2 sehingga wisel penamat.

Penyerang import dari Liberia, Sherman muncul wira buat Sri Pahang apabila berjaya mencipta jaringan kemenangan menerusi rembatan kencangnya untuk menewaskan penjaga gol pelawat Damien Khai Lim pada minit ke-106.

Semalam, JDT mengesahkan slot ke final Piala Malaysia buat kali kelima berturut-turut selepas menewaskan Terengganu FC 6-1 secara agregat.

Kali terakhir skuad Tok Gajah beraksi di final Piala Malaysia adalah pada 2014, apabila muncul juara dengan menewaskan JDT 5-3 menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2.

Pahang turut pernah muncul juara Piala Malaysia pada 1983, 1992 dan 2013, manakala kali terakhir Sabah ke final adalah pada 2003.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2388679