GAYA HIDUP

Thaipusam Dan Pentakdisan Kuil, Sambutan Berganda Penganut Hindu Di Labuan

03/02/2025 11:11 AM

Oleh V. Sankara

KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Sambutan Thaipusam bagi komuniti Tamil beragama Hindu di Labuan bakal menjadi lebih bermakna tahun ini kerana diraikan bersama-sama dengan upacara pentakdisan Kuil Thirumurugam keempat yang dijadualkan pada 9 Feb. 

Terletak di Membedai, sebuah kawasan pinggir laut, kuil ini satu-satunya rumah ibadat Hindu di Labuan dan menjadi pusat kerohanian serta kebudayaan sejak lebih enam dekad lalu. 

Didaftarkan secara rasmi pada 2018, kuil ini mencatat pencapaian bersejarah apabila diwartakan sebagai rumah ibadat di bawah bidang kuasa tempatan.

Pengerusi jawatankuasa pengurusan kuil M. Subramaniam berkata upacara pentakdisan itu menandakan siapnya ubah suai besar-besaran  yang dilaksanakan menurut Agama Shastra Hindu (garis panduan agama).

“Proses ubah suai termasuk pembinaan Raja Gopuram (menara pintu masuk) setinggi tiga tingkat, ukiran-ukiran yang kompleks, lantai granit, kerangka pintu granit dan juga rumah tetamu untuk penganut. Upacara pentakdisan ini satu pencapaian bersejarah buat kuil dan penganutnya,” katanya kepada Bernama.

pic-2

Katanya, perayaan Thaipusam yang jatuh pada 11 Feb, iaitu dua hari selepas upacara itu, merupakan rahmat berganda untuk komuniti Hindu setempat.

“Pentakdisan ini menandakan permulaan baharu untuk kuil, dan sambutan Thaipusam yang menyusul membolehkan kami meraikan kepercayaan kami dengan pengabdian dan kegembiraan yang lebih mendalam,” kongsinya.

Beliau berkata sebagai persediaan untuk upacara itu,  kuil akan mengadakan satu siri Aaru Kala Poojai (upacara sembahyang enam kali setiap hari) hingga 9 Feb dengan kemuncaknya upacara pentakdisan, yang pada ketika itu dewa-dewa di kuil akan melalui ritual penyucian dan dedikasi semula.

Pada sambutan Thaipusam, penganut akan hadir untuk upacara sembahyang selain perarakan membawa kavadi termasuk belanga susu atau paal kudam, sebagai sembahan kepada Dewa Thirumurugan, dewa kebijaksanaan, kemenangan dan kekuatan masyarakat Hindu.

Tidak seperti sambutan besar-besaran di Semenanjung Malaysia, perayaan Thaipusam di Labuan menawarkan pengalaman berbeza dan lebih peribadi. Berlatar belakang Laut China Selatan, kuil yang terletak bersebelahan dengan pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia ini memberi suasana tenang kepada penganut untuk membayar nazar dan memohon rahmat.

pic-3

“Sokongan komuniti setempat menjadikan perayaan Thaipusam di Labuan benar-benar istimewa,” kata Subramaniam.

Upacara pentakdisan itu dijangka dihadiri sekitar 1,000 orang tetamu termasuk pelawat dan pelancong.

Subramaniam berkata ubah suai kuil itu melibatkan kos berjumlah RM3.8 juta, namun masih ada kerja-kerja yang belum disiapkan kerana dana tidak mencukupi.

“Oleh itu, kami memohon kepada semua penganut, dermawan dan mereka yang lain agar menyokong kami. Sumbangan boleh disalurkan terus ke akaun CIMB Bank 8009826702 di bawah nama Pertubuhan Pengurusan Kuil Thirumurugan WP Labuan,”  katanya.

Komuniti Hindu di Labuan mewakili kira-kira satu peratus daripada populasi di pusat kewangan luar pesisir ini yang berjumlah hampir 100,000 orang. 

 -- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2388700