KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Beregu campuran profesional negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie akan menyertai kem latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara sebagai persediaan menghadapi Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2025 di Qingdao, China dari 11 hingga 16 Feb.
Jurulatih beregu campuran negara Nova Widianto mengesahkan pasangan berkenaan telah memulakan latihan fizikal dan akan menggunakan gelanggang latihan bermula Khamis ini.
“Ya, Rexy (Pengarah Kejurulatihan ABM) ada beritahu yang mereka sudah mula berlatih hari ini secara fizikal,” katanya kepada pemberita selepas ditemui pada sesi latihan di ABM hari ini.
Soon Huat-Shevon menjadi satu-satunya pemain berpengalaman yang menyertai pasangan beregu campuran negara Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin.
Malaysia diundi dalam kumpulan B bersama Indonesia, Hong Kong dan Kazakhstan pada kejohanan berkenaan.
Sementara itu, Nova berkata tiada perancangan untuk mengadakan kem latihan di luar negara kerana kesuntukan masa, dan semua atlet hanya menjalani persiapan intensif menumpukan latihan taktikal dan fizikal di ABM.
-- BERNAMA