MELAKA, 4 Feb (Bernama) -- Bekas pegawai kanan di Jabatan Ketua Menteri Melaka direman lima hari oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini kerana disyaki terlibat dalam kes penyalahgunaan kuasa dan kedudukan pada tahun lepas.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman selepas permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut sumber wanita berusia 42 tahun itu ditahan pada pukul 4.50 petang semalam selepas hadir ke pejabat SPRM Melaka bagi membantu siasatan kes meminta sumbangan program Hari Keluarga/Sasaran Kerja Tahunan berjumlah RM5,000, sedangkan program itu tidak wujud, dan wang berkenaan dipercayai digunakan untuk kegunaan peribadinya.
Selain itu, suspek juga dipercayai secara tidak jujur menggunakan wang sumbangan duit raya berjumlah RM600 yang sepatutnya diberikan kepada 30 petugas di bawah seliannya untuk kegunaan peribadinya, juga pada tahun lepas.
Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan reman berkenaan, serta kes disiasat mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.
-- BERNAMA