KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Bursa Malaysia kekal meningkat pada dagangan tengah hari Selasa dipacu oleh aktiviti pembelian saham pada harga rendah yang berterusan dalam kebanyakan kaunter berkaitan indeks, menurut penganalisis.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengukuh 0.42 pertus mewakili 6.61 mata kepada 1,560.24 daripada 1,553.63 ketika ditutup pada Isnin.
Indeks penanda aras ketika dibuka menokok 3.40 mata kepada 1,557.03 dan bergerak dalam julat 1,554.59 dan 1,562.49 sepanjang sesi dagangan.
Sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi iaitu 483 berbanding 329 manakala 444 kaunter tidak berubah, 1,048 tidak diniagakan dan 14 digantung.
Jumlah dagangan berjumlah 1.44 bilion saham bernilai RM953.12 juta.
Menurut seorang penganalisis prestasi pasaran saham tempatan seiring dengan pasaran serantau, yang pulih semula selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan bahawa tarif ke atas Mexico dan Kanada akan ditangguhkan selama sebulan.
Menurut laporan berita, Rumah Putih juga menyatakan bahawa Trump akan berbincang dengan Presiden China, Xi Jinping, yang mencetuskan harapan untuk suatu perjanjian bagi mengelak perang perdagangan yang lebih meluas.
Sementara itu, Rakuten Trade Sdn Bhd berkata dalam suasana ketidaktentuan yang meningkat dalam pasaran saham, berlakunya peralihan dana kepada aset yang lebih selamat, terutamanya emas, dengan harga kini melebihi US$2,800 setiap auns troy.
"Untuk hari ini, kami menjangkakan indeks akan bergerak dalam julat 1,550-1,560 kerana para pelabur mungkin lebih cenderung untuk tidak memasuki pasaran sambil menunggu keadaan reda,” katanya dalam satu nota.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, CIMB melonjak 7.0 sen kepada RM8.07, Public Bank menokok 3.0 sen kepada RM4.35, dan Maybank menambah 4.0 sen kepada RM10.34, manakala SD Guthrie dan Tenaga masing-masing meningkat 6.0 sen kepada RM4.91 dan RM13.64.
Bagi kaunter paling aktif, Harvest Miracle Capital naik 1.0 sen kepada 19.5 sen, Oriental Kopi meningkat 3.0 sen kepada 88.5 sen, Velesto Energy susut setengah sen kepada 18.5 sen, MYEG bertambah 1.5 sen kepada 96 sen, dan Kinergy Advancement kekal pada 32.5 sen.
Pada papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 47.66 mata kepada 11,913.72, Indeks FBMT 100 meningkat 48.64 mata kepada 11,607.25, dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 45.67 mata kepada 11,767.49.
Indeks FBM ACE menokok 33.92 mata kepada 5,223.09, manakala Indeks FBM 70 mencatat kenaikan 72.05 mata kepada 17,659.67.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 67.08 mata kepada 18,906.90, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 0.01 mata kepada 163.72, Indeks Tenaga menokok 0.11 mata kepada 816.23, dan Indeks Perladangan meningkat 28.15 mata kepada 7,373.99.
-- BERNAMA