KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) telah mencapai kemajuan yang signifikan dalam Ranking Universiti Dunia Times Higher Education (THE) mengikut Subjek 2025, yang mengukuh kedudukannya sebagai institusi terkemuka di rantau ini.
UTP dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa program Kejuruteraannya telah naik ke kedudukan kedua di Malaysia dengan melonjak ke kedudukan 176-200, satu peningkatan ketara daripada kedudukan sebelumnya iaitu 201-250.
Dalam bidang Sains Komputer, UTP berada dalam kalangan tiga institusi terbaik di peringkat nasional, meningkat dua kedudukan kepada kedudukan 201-250 daripada 301-400 sebelum ini.
Bagi bidang Sains Fizikal pula UTP menduduki tempat terbaik Malaysia, selepas melonjak ke kedudukan 201-250 daripada 251-300.
“Ranking ini, yang menilai 1,488 institusi merentasi 11 bidang subjek utama, menggunakan penunjuk prestasi yang ketat dan disesuaikan untuk disiplin tertentu, telah menyerlahkan kemajuan luar biasa UTP,” menurut kenyataan itu.
Naib Canselor UTP Prof Datuk Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib melahirkan rasa bangga beliau terhadap pencapaian luar biasa UTP dalam penarafan ini, yang mencerminkan dedikasi dan kerja keras fakulti, pelajar, serta staf universiti.
“UTP kekal komited dalam melahirkan graduan yang berkemahiran tinggi serta memacu inovasi berimpak yang memenuhi keperluan industri, selain menangani cabaran global dan sosial melalui penyelesaian berasaskan kelestarian.
“Antara inisiatif utama kami ialah pengenalan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Bersepadu dengan Kepujian, yang pertama seumpamanya di Malaysia, bertujuan melahirkan jurutera berdaya tahan yang mampu menyelesaikan isu industri dan masyarakat yang kompleks,” katanya.
Mohamed Ibrahim turut menegaskan bahawa UTP kekal komited dalam menyokong PETRONAS untuk mencapai sasaran Pelepasan Karbon Sifar Bersih (NZCE) menjelang tahun 2050.
“Kami amat menghargai sumbangan semua pihak berkepentingan dalam perjalanan ini dan akan terus berusaha untuk meningkatkan kecemerlangan akademik serta penyelidikan di peringkat global,” katanya.
Prestasi cemerlang UTP bukan sahaja dalam penarafan subjek, malah universiti itu buat kali pertama berjaya menembusi kedudukan 250 terbaik dalam Ranking Universiti Dunia THE 2025.
Ini menjadikan UTP sebagai institusi berada pada kedudukan terbaik di Malaysia, meningkat ke kedudukan 201-250 daripada 301-350 pada tahun sebelumnya.
-- BERNAMA