KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mengesahkan sebanyak 66,574 kes bencana kerja direkodkan di seluruh negara sepanjang 2024, mencatatkan penurunan sebanyak 2.4 peratus berbanding 68,220 kes pada 2023.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata daripada jumlah tersebut, kes kemalangan semasa perjalanan meningkat sedikit kepada 33,638 kes pada 2024, berbanding 33,181 kes pada tahun sebelumnya.
"Bagaimanapun, kadar kemalangan bagi setiap 1,000 Orang Berinsurans (OB) menunjukkan penurunan sebanyak 8.9 peratus bagi kemalangan industri dan 1.8 peratus bagi kemalangan semasa perjalanan, dalam tempoh yang sama," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh PERKESO hari ini.
Abdul Rahman berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Pencegahan Kemalangan 2025 (Cegah 2025) anjuran PERKESO, di Bangi, Selangor hari ini.
Sementara itu, PERKESO akan mempergiatkan usaha pencegahan kemalangan melibatkan 7,000 majikan yang dikenal pasti merekodkan kes tertinggi dalam pelbagai insiden bencana kerja tahun lepas.
Menurut PERKESO, ia peningkatan 25.4 peratus berbanding 5,582 majikan yang terbabit dalam Ops Cegah 2024 yang bertujuan memastikan pendekatan ‘Vision Zero’ atau ‘Sifar Kemalangan’ dapat diterapkan di semua premis majikan dan semasa perjalanan ke tempat kerja.
"PERKESO sentiasa menyokong program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) dan pelaksanaan Ops Cegah, dengan memfokuskan kepada majikan yang merekodkan kadar kemalangan tertinggi demi menjamin keberkesanan aspek pencegahan di tempat kerja," kata Abdul Rahman.
Setakat ini, sebanyak 675 program KKP diluluskan PERKESO untuk dilaksanakan 35 NGO dan institusi, dengan peruntukan RM4.01 juta pada tahun ini.
-- BERNAMA