ASTANA (Kazakhstan), 4 Feb (Bernama-TASS) -- Kementerian Pengangkutan Kazakhstan merancang untuk mengeluarkan hasil awal siasatan terhadap nahas penerbangan Azerbaijan Airlines (AZAL) berhampiran Aktau dalam beberapa hari lagi, lapor Agensi Berita Rusia (TASS) yang memetik Menteri Pengangkutan Kazakhstan, Marat Karabayev.
"Kerja-kerja berada di peringkat akhir, dan kami menjangkakan untuk mengeluarkan laporan awal di laman sesawang kami dalam beberapa hari," katanya pada sidang media.
Menurut Karabayev, para pakar memerlukan masa untuk menyelesaikan kerja mereka yang "sangat memenatkan".
Beliau menjelaskan, pasukan dari Kazakhstan, Brazil, Rusia, dan Azerbaijan terlibat dalam siasatan ini.
Pesawat Embraer 190 AZAL yang dalam penerbangan dari ibu kota Azerbaijan, Baku, ke Grozny di Rusia, terpaksa membuat pendaratan cemas berhampiran Bandar Aktau, Kazakhstan, pada 25 Disember.
Pesawat itu membawa lima kru dan 62 penumpang, termasuk rakyat Rusia, Azerbaijan, Kazakhstan, dan Kyrgyzstan. Menurut laporan terkini, 38 orang, termasuk tujuh rakyat Rusia maut sementara 29 orang lagi terselamat dalam nahas itu.
Kazakhstan sedang menjalankan siasatan terhadap nahas udara itu. Astana sebelum ini menyatakan bahawa ia juga telah memberi akses kepada Rusia dan Azerbaijan untuk bahan-bahan siasatannya.
Perakam penerbangan telah dinyahkod di Brazil, tempat pesawat yang terlibat dalam kemalangan itu dibina.
-- BERNAMA-TASS