AM

Pesawah Harap Harga Lantai Belian Padi Baharu Bawa Khabar Gembira

05/02/2025 06:11 PM

JERLUN, 5 Feb (Bernama) -- Pesawah di negeri ini berharap harga lantai belian padi baharu yang akan diumumkan minggu depan membawa perkhabaran gembira kepada mereka.

Pesawah dari Ayer Hitam di sini Ahmad Saad, 73, berkata dia berharap harga lantai baharu itu akan membantu petani menampung kenaikan pelbagai kos input pertanian dan sewaan peralatan ketika ini.

“Kami sangat berharap harga lantai baharu ditetapkan pada kadar yang sesuai… memang kilang swasta dah mula beli padi sehingga RM1,500 per tan metrik, tapi bila-bila masa saja akan turun seperti musim lepas hingga mengecewakan banyak petani.

“Kalau harga baharu dikuatkuasakan secepat mungkin, bolehlah kami merasa harga itu untuk musim menuai tidak lama lagi,” katanya di sini hari ini.

Pesawah dari Kampung Batas Bengkok, Sanglang, Hamdi Ahmad, 40, berkata sekiranya harga lantai belian padi tidak dinaikkan, petani akan terus tertekan dan tidak dapat mewariskan sawah kepada anak-anak mereka.

“Ada petani yang dah tak kerjakan bendang, ada yang jual tanah mereka disebabkan tak ada untung…anak-anak muda dah tak berminat ambil alih, siapa lagi nak buat bendang kalau macam ni?

“Penting naikkan harga lantai belian padi ini sebab memang petani semakin hari semakin jatuh miskin…semua benda naik, benih pun naik, racun, sewa jentera dan sewa tanah pun naik juga,” katanya.

Bagi Mohd Shukor Mustafa, 40, pula dia berasa lega apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan akan membantu petani terkesan kenaikan diesel menerusi bantuan tunai subsidi di bawah inisiatif BUDI MADANI.

“Saya memang terkesan dengan kenaikan diesel sebab saya ada tiga jentera, terasa juga la kena beli diesel pada harga mahal tetapi bertahan dua hari saja, beban jugalah,” katanya yang berasal dari Pida 2, Sanglang.

Sementara itu, Pengerusi Peladang Muda, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Aswadil Khairi Che Omar meminta pesawah teruskan berdoa supaya berita gembira buat mereka akan diumumkan nanti.

“Sekarang kita tunggulah dan berdoa banyak-banyak semoga apa yang dihajati tercapai. Memorandum pun dah hantar, demo pun dah banyak kali buat, kita tunggulah apa yang akan diumumkan nanti,” katanya.

Mengulas mengenai peruntukan RM1 bilion untuk MADA bagi meningkatkan hasil padi sehingga 70 peratus, Aswadil Khairi berkata perkara itu turut disambut baik petani yang mahukan lebih banyak infrastruktur ditambah baik dan diwujudkan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2389611