PASARAN

Bursa Malaysia Ditutup Tinggi Disokong Aktiviti Belian

05/02/2025 07:27 PM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Saham di Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini disokong oleh aktiviti belian terutamanya dalam sektor pembinaan, hartanah, utiliti dan teknologi, kata penganalisis. 

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.63 peratus atau 9.95 mata kepada 1,574.51 berbanding paras penutup 1,564.56 pada Selasa.

Indeks petunjuk pasaran itu yang dibuka tinggi naik 1.07 mata kepada 1,565.63, bergerak antara paras 1,564.43 dan 1,576.45 sepanjang hari dagangan. 

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 622 berbanding 345, manakala 493 kaunter tidak berubah, 840 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.86 bilion unit bernilai RM2.32 bilion daripada 2.23 bilion unit bernilai RM2.05 bilion pada Selasa.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, bagaimanapun, pasaran utama serantau menyaksikan dagangan ditutup bercampur-campur, mencerminkan ketidakpastian pelabur terhadap impak ekonomi daripada tarif baharu AS-China.

Bagi pasaran tempatan beliau optimis namun berhati-hati memandangkan perang perdagangan Amerika Syarikat (AS) boleh meningkatkan turun naik pasaran dan melemahkan keyakinan pelabur.

Namun begitu, penilaian FBM KLCI masih kekal menarik ditambah dengan keadaan ekonomi yang bertambah baik.

“Kami mencadangkan pelabur lebih menumpukan kepada saham mewah sambil mengekalkan portfolio yang pelbagai untuk mengurangkan risiko. Indeks petunjuk pasaran perlu melepasi paras rintangan pada 1,590 dan kekal berada pada tahap itu bagi tempoh yang lama untuk mendapatkan semula momentum kenaikan harga.

“Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI didagangkan dalam jajaaran 1,560-1,590 bagi tempoh berbaki minggu ini,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata prestasi positif FBM KLCI turut disokong oleh aktiviti membeli saham berharga rendah dalam saham berkaitan pusat data.

Bagaimanapun, jumlah dagangan kekal lemah kerana para pelabur masih terus berhati-hati, menunggu perkembangan seterusnya berkaitan dasar tarif Presiden AS Donald Trump.

Kenaikan indeks diterajui oleh sektor pembinaan dan utiliti, yang mana kedua-duanya meningkat lebih tiga peratus, katanya.

Mengenai perdagangan global, Mohd Sedek berkata tarif ke atas China nampaknya kurang menjejaskan pengguna dan pengeluar AS berbanding yang dikenakan ke atas Kanada dan Mexico.

“Trump telah menyatakan bahawa beliau tidak tergesa-gesa untuk berunding dengan Presiden China Xi Jinping. Walaupun tarif ini boleh membawa impak tidak langsung ke atas rakan perdagangan China di Asia, kesannya masih terkawal.

“Apa yang lebih penting, keadaan ini boleh mewujudkan peluang baharu bagi ekonomi Asia untuk mengukuhkan hubungan perdagangan dengan AS,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Gamuda naik 20 sen kepada RM4.38, YTL Power International meningkat 13 sen kepada RM3.17, YTL Corporation menambah 7.0 sen kepada RM1.95, Public Bank menokok 4.0 sen kepada RM4.44 dan Press Metal Aluminium melonjak 6.0 sen kepada RM4.98.

Dalam kalangan saham cergas, TWL dan Harvest Miracle Capital kedua-duanya tidak berubah, masing-masing pada 2.5 sen dan 19.5 sen, Oriental Kopi susut setengah sen kepada 89.5 sen, MYEG naik 1.0 sen kepada 97 sen dan Nationgate meningkat 11.0 sen pada RM1.95.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas melonjak 88.91 mata kepada 12,023.74, Indeks FBMT 100 meningkat 84.21 mata kepada 11,715.87, dan Indeks FBM Emas Shariah melonjak 116.27 mata kepada 11,871.04.

Indeks FBM ACE meningkat 69.42 mata kepada 5,287.51 manakala Indeks FBM 70 melonjak 168.13 mata kepada 17,835.99.

Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 34.47 mata kepada 19,061.73, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.71 mata kepada 165.21, Indeks Perladangan menambah 58.17 mata kepada 7,431.25, dan Indeks Tenaga meningkat 8.15 mata kepada 821.54. 

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.33 bilion unit bernilai RM2.01 bilion daripada 1.08 bilion unit bernilai RM1.79 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran naik kepada 924.38 juta unit bernilai RM94.71 juta daripada 687.14 juta unit bernilai RM71.04 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 604.78 juta unit bernilai RM218.53 juta daripada 465.50 juta unit bernilai RM186.55 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 153.32 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (243.07 juta), pembinaan (164.52 juta), teknologi (155.45 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (58.95 juta), hartanah (228.90 juta),  perladangan (30.99 juta) REIT(13.85 juta), dana tertutup (11,300), tenaga (101.51 juta), penjagaan kesihatan (63.39 juta), telekomunikasi dan media (14.89 juta), pengangkutan dan logistik (15.20 juta), utiliti (90.03 juta), dan amanah perniagaan (925,400).

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2389662