PASARAN

Ringgit Ditutup Rendah Berbanding Dolar AS

10/02/2025 07:42 PM

Oleh Zufazlin Baharuddin

 KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS untuk hari ketiga berturut-turut susulan kebimbangan kesan tarif import Amerika Syarikat (AS) terhadap industri keluli dan aluminium menyokong mata wang negara maju itu.

Pada 6 petang, ringgit menyusut kepada 4.4680/4730 berbanding dolar AS 4.4375/4420 ketika ditutup pada Jumaat.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pentadbiran Presiden AS Donald Trump akan mengenakan tarif 25 peratus ke atas import keluli dan aluminium dari semua negara.

"Langkah ini pasti akan menyebabkan ketidaktentuan yang lebih besar di pasaran mata wang, dengan dolar AS terus mendapat permintaan yang tinggi," katanya kepada Bernama.

Selain itu, beliau berkata pasaran buruh AS yang stabil juga memberikan sokongan kukuh kepada dolar AS.

Dilaporkan data Senarai Gaji Bukan Ladang (NFP) pada Januari mencatatkan 143,000 pekerjaan baharu, berbanding jangkaan sebanyak 170,000 pekerjaan.

Bagaimanapun, NFP bagi Disember disemak naik dari 256,000 kepada 307,000, manakala kadar pengangguran menurun kepada 4.0 peratus pada Januari berbanding 4.1 peratus pada bulan sebelumnya, menunjukkan bahawa pasaran buruh AS kekal kukuh.

Mohd Afzanizam berkata fokus minggu ini akan terarah kepada kenyataan Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) AS, Jerome Powell kepada Kongres AS, yang akan memberikan lebih banyak maklumat bagaimana Fed akan menilai perubahan dasar semasa berhubung tarif dan kesan yang mungkin timbul ke atas ekonomi AS secara keseluruhan.

"Fed berkemungkinan akan mengekalkan dasar yang lebih ketat dan tidak akan mengurangkan kadar faedah pada separuh pertama tahun ini," katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding mata wang utama yang lain.

Ringgit susut berbanding yen Jepun kepada 2.9352/9387 daripada 2.9217/9249 ketika ditutup pada Jumaat, merosot berbanding euro kepada 4.6128/6179 daripada 4.6101/6148 minggu lepas, dan turun berbanding pound Britain kepada 5.5430/5492 berbanding 5.5278/5334 sebelumnya.

Mata wang tempatan itu juga merosot berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit lebih rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.3006/3048 berbanding 3.2866/2901 ketika ditutup pada Jumaat lepas, menurun berbanding rupiah Indonesia kepada 273.1/273.5 daripada 272.4/272.9 minggu lepas, dan merosot berbanding peso Filipina kepada 7.69/7.70 daripada 7.65/7.66 ketika ditutup Jumaat lepas.

Namun, ringgit mengukuh berbanding baht Thailand kepada 13.1768/1986 berbanding 13.1853/2041 sebelum ini.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2391238