AM

Helikopter Terbakar Di Bentong: TNB Arah Pemberhentian Kerja Guna Helikopter Kedua

06/02/2025 02:43 PM

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah mengarahkan pemberhentian kerja bagi penggunaan helikopter kedua yang terlibat dalam kerja penyelenggaraan di tapak projek TNB di Bentong.

TNB menerusi hantaran di akaun Facebook TNB Careline hari ini mengesahkan telah menerima laporan mengenai kejadian sebuah helikopter terhempas ketika mendarat untuk mengisi minyak berdekatan tapak projek TNB di kawasan Bentong, Pahang.

“TNB akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan insiden itu dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

“Laporan awal menyatakan bahawa juruterbang berjaya dikeluarkan dengan selamat manakala seorang pekerja syarikat helikopter (warga Indonesia) meninggal dunia,” menurut hantaran itu.

Terdahulu Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Pahang mengesahkan seorang jurutera warga Indonesia maut selepas sebuah helikopter jenis Bell 206L4 terbakar ketika mendarat untuk mengisi minyak.

Bagaimanapun dalam kejadian berhampiran kolam air panas, Jalan Lama Kuala Lumpur-Bentong itu, juruterbang helikopter berkenaan yang juga warga Indonesia terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2389896