PASARAN

Minat Belian Berterusan, Bursa Malaysia Kekal Meningkat Pada Sesi Tengah Hari

07/02/2025 02:11 PM

KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Bursa Malaysia mengekalkan momentum peningkatannya pada dagangan tengah hari Jumaat, dipacu minat belian berterusan dalam saham mewah terpilih yang didahului oleh kaunter utiliti dan perbankan, kata penganalisis.

Pada 12.30 tengah hari ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.26 peratus atau 4.24 mata kepada 1,589.41 daripada 1,585.17 pada akhir urus niaga semalam.  

Indeks penanda aras itu yang dibuka susut 1.55 mata kepada 1,583.62, bergerak dalam julat 1,582.92 hingga 1,590.86 sepanjang sesi dagangan pagi ini.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 575 berbanding 336 manakala 417 kaunter lain tidak berubah, sebanyak 989 tidak diniagakan dan 22 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 1.67 bilion unit bernilai RM1.08 bilion. 

Firma pembrokeran Malacca Securities Sdn Bhd berkata perang dagangan Amerika Syarikat (AS) dan China yang berlanjutan, menyebabkan kalangan pengeluar mempelbagaikan pangkalan pengeluaran masing-masing.

Langkah itu, katanya, hanya mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab perindustrian strategik yang memberi manfaat kepada sektor seperti pembinaan, bahan binaan dan utiliti.

Dari sudut teknikal, paras rintangan dijangkakan dalam lingkungan 1,600-1,605 mata manakala paras sokongan pada 1,565-1,570 mata pada hari ini.

Saham wajaran tinggi menyaksikan YTL Power naik 17 sen kepada RM3.40 sen, CIMB dan TM meraih 12 sen masing-masing pada RM8.34 dan RM6.76, YTL Corporation menokok 7.0 sen kepada RM2.04 dan Gamuda meningkat 9.0 sen kepada RM4.51.

Bagi saham paling aktif, MyEG Services naik 2.5 sen kepada RM1.01, Velesto susut setengah sen kepada 18.5 sen, Harvest Miracle Capital turun 2.0 sen kepada 17.5 sen manakala Supermax berkurangan 2.0 sen kepada RM1.22.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas menokok 50.15 mata kepada 12,141.56, Indeks FBMT 100 meningkat 47.71 mata kepada 11,832.65 dan Indeks FBM Emas Shariah meraih 42.84 mata kepada 11,984.03.

Indeks FBM ACE meningkat 8.82 mata kepada 5,255.69 manakala Indeks FBM 70 melonjak 136.10 mata kepada 18,037.06.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 50.23 mata kepada 19,199.97 namun Indeks Perladangan turun 1.73 mata kepada 7,466.61, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.18 mata kepada 166.63 manakala Indeks Tenaga meraih 0.40 mata kepada 827.88.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2390233