DUNIA

Negara, Organisasi Arab Terus Nyatakan Penolakan Terhadap Pelan Trump Mengenai Gaza

07/02/2025 05:24 PM

ISTANBUL, 7 Feb (Bernama-AA) -- Negara-negara dan organisasi Arab terus menyuarakan penolakan tegas terhadap pelan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk merampas Gaza dan mengusir   penduduk Palestin, lapor Agensi Anadolu.

Mesir, Algeria, Iraq, Libya, dan kumpulan pejuang Palestin, Hamas, mengeluarkan kenyataan pada Khamis, susulan penolakan terdahulu oleh Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jordan dan Oman serta beberapa organisasi serantau dan antarabangsa, termasuk Liga Arab dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Pada Khamis, Trump mendakwa rakyat Palestin akan mempunyai "kehidupan lebih baik" di bawah rancangannya, dengan berpindah ke "kawasan lebih selamat dan indah dengan rumah moden." Beliau berkata AS akan bekerjasama dengan pasukan pembangunan untuk membina "satu daripada projek terbesar seumpamanya."

Sebelumnya, beliau mendakwa rakyat Palestin akan berpeluang untuk tinggal di kediaman lebih selamat dan komuniti yang indah dengan rumah baharu dan moden di rantau ini.

Pada Selasa, dalam sidang akhbar bersama Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, Trump berkata AS akan "mengambil alih" Gaza dan memindahkan penduduk Palestin di bawah pelan pembangunan semula luar biasa yang menurutnya boleh menjadikan wilayah itu sebagai “Riviera Timur Tengah.”

Mengulas pelan Trump, Mesir menegaskan ia menolak sebarang cadangan “yang bertujuan menghapuskan perjuangan Palestin dengan mengusir atau menyingkirkan rakyat Palestin dari tanah sejarah mereka, sama ada secara sementara atau kekal.”

Raja Abdullah II dari Jordan dalam perbualan telefon dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Antonio Guterres menegaskan penentangan negara itu terhadap sebarang percubaan untuk merampas tanah atau menyingkirkan rakyat Palestin dari Gaza dan Tebing Barat.

Kementerian Luar Kuwait mengulangi sokongan teguhnya terhadap hak Palestin untuk menubuhkan negara merdeka, serta mengecam dasar penempatan warga Israel dan pemindahan penduduk Palestin.

Algeria pula mengecam sebarang pelan untuk mengusir penduduk Gaza, sambil memberi amaran bahawa tindakan sebegitu "akan menjejaskan asas perjuangan nasional Palestin."

Iraq dan Libya turut menyatakan bantahan keras mereka terhadap sebarang cadangan atau usaha untuk menyingkirkan rakyat Palestin secara paksa, sambil menggesa masyarakat antarabangsa mengambil pendirian tegas terhadap tindakan berkenaan.

Presiden Palestin Mahmoud Abbas menyifatkan pelan Trump sebagai pencabulan undang-undang antarabangsa, menegaskan bahawa Gaza adalah satu bahagian tidak terpisah dari Palestin dan menolak sebarang keputusan luar mengenai masa depan rakyat Palestin.

Hamas turut mengecam kenyataan Trump, dengan jurucakapnya Hazem Qassem menggesa satu sidang kemuncak Arab diadakan segera bagi menentang pelan pemindahan itu, sambil memberi amaran bahawa AS sebenarnya berusaha untuk menduduki Gaza.

Arab Saudi mengulangi sokongannya yang tidak berbelah bahagi terhadap penubuhan negara Palestin, manakala UAE turut mengecam usaha pemindahan itu serta menyeru penyelesaian adil terhadap konflik Israel-Palestin.

Liga Arab dan GCC pula menegaskan komitmen mereka terhadap perjuangan Palestin, sambil menolak sebarang rancangan pemindahan paksa rakyat Palestin.

Pergerakan Houthi di Yaman turut mengecam kenyataan Trump sebagai satu serangan terang-terangan terhadap hak rakyat Palestin dan penghinaan terhadap dunia Arab dan Islam.

Gencatan senjata berkuat kuasa di Gaza sejak 19 Jan, menghentikan serangan genosid Israel yang telah meragut hampir 47,600 nyawa rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta menyebabkan wilayah itu musnah.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap pada November tahun lepas  terhadap Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

-- BERNAMA-AA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2390317