DUNIA

Menteri Luar Cuba Adakan Lawatan Rasmi Ke Malaysia, Sempena 50 Tahun Hubungan Diplomatik

12/02/2025 02:13 PM

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Menteri Luar Cuba Bruno Eduardo Rodriguez Parrilla akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia selama empat hari mulai 12 Feb 2025, menandakan lawatan pertamanya ke Malaysia sejak menyandang jawatan itu pada 2 Mac 2009.

“Lawatan ini berlangsung bersempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik di antara Malaysia dan Cuba yang terjalin semenjak 6 Feb 1975,” menurut Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Rabu (12 Feb).

Semasa lawatannya, Bruno dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Kedua-dua Menteri Luar dijangka membincangkan kerjasama dua hala antara kedua-dua buah negara seperti perdagangan, usahasama dalam bidang bioteknologi dan kesihatan, serta latihan dan pembangunan keupayaan.

“Kedua-dua pihak juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu pelbagai hala yang berkepentingan bersama. Antara topik yang akan dibincangkan adalah ASEAN dan BRICS,” menurut kenyataan itu.

Bruno juga dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam rangka lawatannya ke Malaysia, Bruno akan mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Pilihan Khas Hubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa Parlimen di Parlimen Malaysia.

Lawatan beliau juga merangkumi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Prensa Latina dalam bidang kewartawanan, serta Pertukaran Nota (EoN) antara Institut Diplomasi dan Hubungan Luar (IDFR) dengan Higher Institute of International Relations (ISRI) dalam bidang latihan diplomasi.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2391690