Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 7 Feb (Bernama) -- ASEAN menyeru Pakistan supaya menyokong Visi Komuniti ASEAN 2045 yang akan datang serta Pelan Strategiknya, selain memperkukuh kerjasama dalam empat bidang utama yang digariskan dalam Pandangan ASEAN terhadap Indo-Pasifik.
Blok serantau itu turut meminta Pakistan menyokong pelaksanaan Pelan Induk Kesalinghubungan ASEAN 2025 dan Inisiatif Pelan Kerja Integrasi ASEAN IV, serta mengalu-alukan kerjasama dengan pusat kecemerlangan ASEAN.
"ASEAN dan Pakistan bersependapat bahawa terdapat peluang besar untuk memperkukuh kerjasama dan mengiktiraf kepentingan usaha bersama bagi merealisasikan sepenuhnya potensi perkongsian mereka," menurut Sekretariat ASEAN dalam satu kenyataan.
Kedua-dua pihak mengesahkan komitmen untuk mempererat hubungan itu semasa Mesyuarat Kelapan Jawatankuasa Kerjasama Sektoral Bersama ASEAN-Pakistan di Ibu Pejabat ASEAN di Jakarta pada Khamis.
Pegawai kedua-dua pihak membincangkan perluasan kerjasama dalam pelbagai bidang kepentingan bersama, termasuk jenayah rentas sempadan, keamanan dan perdamaian, perdagangan, ekonomi digital, keselamatan siber, keterjaminan makanan, keselamatan tenaga, pelancongan, tenaga boleh diperbaharui, infrastruktur, pengurusan bencana, perubahan iklim, pendidikan, pembangunan sumber manusia serta pertukaran rakyat dengan rakyat.
Mesyuarat itu turut menyentuh keutamaan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, kemajuan Rangkaian Bandar Pintar ASEAN, serta inisiatif ASEAN dalam mempromosikan pembangunan mampan dan mengurangkan jurang pembangunan.
Timbalan Setiausaha Agung ASEAN bagi Komuniti Sosiobudaya San Lwin mempengerusikan mesyuarat itu bersama Duta Pakistan ke ASEAN, Ameer Khurram Rathore.
Turut hadir, wakil dari Jawatankuasa Wakil Tetap ke ASEAN, dengan Timor-Leste menyertai sebagai pemerhati.
-- BERNAMA