Oleh Atira Khalisha Nor Adnan
SHAH ALAM, 8 Feb (Bernama) -- Di sebalik peningkatan kes penderaan kucing yang dilaporkan saban tahun, masih ada individu berhati mulia yang sanggup berkorban wang ringgit, masa dan tenaga demi memastikan haiwan ini mendapat rawatan, penjagaan dan hidup lebih selesa.
Mewujudkan ‘Rumah Katsumi’ untuk tujuan itu empat tahun lepas apabila melihat banyak kucing dibuang semasa Perintah Kawalan Pergerakan, Nur Hanariawati Mohd Najib, 45 dan suami Baharim Abu Bakar, 47 berkongsi rumah sewa mereka yang berkeluasan 2,000 kaki persegi di sini dengan lebih 50 ekor kucing termasuk 27 kucing kurang upaya.
Malah, bilik tidur mereka juga dijadikan “bilik rawatan” bagi memudahkan mereka menjaga dan merawat kucing kurang upaya yang sebahagian besarnya mengalami lumpuh kaki belakang akibat dilanggar kenderaan, terjatuh dari bangunan tinggi dan juga kerana didera.
“Saya memang ada bela kucing sebelum ini tetapi yang normal. Terdetik menjaga kucing kurang upaya selepas melihat banyak iklan mencari penjaga untuk kucing yang dilanggar di media sosial, sekitar 2021. Saya cuba jaga seekor dahulu dan hingga kini ada 27 ekor kucing yang diselamatkan, tidak termasuk yang sudah mati,” katanya kepada Bernama.
pic-2
Jelas suri rumah berusia 45 tahun itu, kucing tersebut diambil dari beberapa negeri antaranya Johor, Negeri Sembilan, Kedah, Pahang, Terengganu dan Kelantan menggunakan perkhidmatan ‘pet taxi’ (pengangkutan teksi untuk haiwan peliharaan).
Walaupun terpaksa mengorbankan banyak perkara seperti waktu dan wang ringgit demi kebajikan dan nyawa si comel berkenaan, ibu kepada tiga orang cahaya mata ini meluahkan rasa syukur kerana diberi peluang berbakti kepada haiwan tersebut.
“Saya juga sudah lama tidak balik kampung ataupun bercuti kerana perlu menguruskan kucing. Biasanya, kucing dan tempatnya akan saya bersihkan setiap hari selain menukar lampin pakai buang bagi kucing yang lumpuh dalam empat ke lima kali sehari.
“Saya juga perlu membantu kucing-kucing lumpuh ini membuang air kecil atau besar yang mengambil masa dalam dua jam setiap sesi, kerana haiwan ini tidak boleh melakukannya sendiri,” katanya yang menggunakan lampin pakai buang bayi pelbagai saiz untuk kucing-kucing berkenaan.
pic-3
Selain itu, bulu pada ekor kucing kurang upaya tersebut juga perlu dicukur dari semasa ke semasa bagi memudahkan pembersihan terutamanya jika terkena najis.
Gemar berkongsi video pendek kucing istimewanya itu di laman TikTok Cerita Kucing Katsumi, wanita ini berkata kebiasaannya kucing jalanan yang dikutip dalam keadaan parah akibat dilanggar kenderaan mengambil masa sekurang-kurangnya sebulan untuk dirawat.
Sekitar RM1,200 diperlukan seminggu bagi menjaga kucing kurang upaya ini termasuk makanan khusus serta lampin pakai buang. Jumlah ini tidak termasuk kos perubatan.
pic-4
“Perbelanjaan rawatan dan mengurus kucing ini kami tanggung dengan duit sendiri. Namun, sekiranya kos itu melebihi RM2,000, kami akan memohon sumbangan dana orang ramai. Sebelum jaga kucing kurang upaya ini kami memang aktif di media sosial, mempromosikan perkhidmatan perapian dan lain-lain untuk kucing.
“Alhamdulillah, rakyat Malaysia kebanyakannya pemurah,” katanya.
Nur Hanariawati berkata antara cabaran yang dihadapi mereka dalam menjaga kucing lumpuh ialah risiko kecederaan pada haiwan berkenaan semasa bemain sesama sendiri dan seterusnya memerlukan rawatan dengan kos yang tinggi.
“Kucing di sini semua baik, memang tidak bergaduh. Cumanya, kalau dah menjilat adakala digigit ekor kawan dan kawannya tak rasa sakit sebab dah lumpuh, jadi kami terpaksa bawa ke klinik untuk amputasi ekor yang menelan kos RM500,” katanya.
pic-5
Menurutnya, mereka juga memanggil doktor veterinar untuk datang ke rumah melakukan pemeriksaan rutin ke atas kucing-kucing lumpuh tersebut setahun sekali, bagi memastikan kesihatan haiwan berkenaan dalam keadaan baik.
“Kucing yang lumpuh biasanya mudah terkena penyakit buah pinggang sebab berkait dengan pundi kencing, menjadikannya mudah terkena jangkitan. Ini terjadi kerana kita yang bantu mengeluarkan najis mereka dan mungkin ada saki-baki tertinggal sehingga berlaku jangkitan... itu pentingnya pemeriksaan berkala,” katanya.
-- BERNAMA