Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani
KUALA LUMPUR, 8 Feb (Bernama) -- Bursa Malaysia dijangka mengalami dagangan secara berhati-hati minggu depan, dengan Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka berubah-ubah antara 1,580 dan 1,600 mata, menurut seorang penganalisis.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pemain pasaran mungkin akan menumpukan perhatian mereka pada sektor pembinaan, utiliti, dan teknologi memandangkan sentimen positif dan perkembangan terkini dalam sektor-sektor tersebut.
Beliau berkata prospek pasaran ekuiti masih tidak menentu berikutan perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.
“Para peniaga mungkin perlu berhati-hati dan mengambil pendekatan tunggu dan lihat sebelum mengambil langkah seterusnya,” katanya kepada Bernama.
Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata Bursa Malaysia menghampiri hujung minggu dengan gelombang optimisme, disokong oleh jangkaan “perang perdagangan ringan” dan lonjakan sentimen Asia yang lebih luas, sebahagiannya dicetuskan oleh kemajuan teknologi dipacu kecerdasan buatan (AI), DeepSeek.
Bagaimanapun, dalam sentimen berhati-hati itu, keseimbangan risiko masih bergantung sepenuhnya pada dasar perdagangan AS dan sejauh mana agresifnya Presiden AS Donald Trump terhadap China.
Beliau berkata 1 April merupakan tarikh penting apabila Trump mengarahkan penasihat perdagangannya untuk menyediakan pelan tindakan pelaksanaan tarif.
Pasaran, sehingga tarikh itu, dilihat akan cenderung untuk jangkaan potensi langkah kompromi berbanding perang perdagangan yang agresif.
“Selagi pasaran memegang sentimen itu, kita tidak mungkin akan melihat penjualan besar-besaran dalam saham tempatan. Bagaimanapun, risiko tarif selanjutnya masih ada, dan ketidakpastian yang berterusan itu bermakna pelabur mungkin akan kekal dalam mod tunggu dan lihat, optimis dengan berhati-hati tetapi tidak terlalu komited.
“Buat masa ini, saya melihat sokongan sekitar 1,580 dan rintangan berhampiran 1,610, tetapi ini hanyalah panduan. Perubahan dalam dasar perdagangan Trump minggu depan boleh dengan mudah mengubah keadaan.
“Pelabur dinasihatkan untuk harus cepat bertindak balas, kerana pasaran ini masih sangat reaktif terhadap berita terkini mengenai perang perdagangan,” kata Innes.
Untuk urus niaga minggu ini, FBM KLCI kebanyakannya mencatatkan kenaikan disebabkan aktiviti belian saham pada harga rendah terutamanya dalam kaunter pembinaan, utiliti, dan perkhidmatan kewangan, disokong oleh inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dan perkembangan pusat data di negara ini.
Di peringkat antarabangsa, pemain pasaran berhati-hati dengan dasar tarif Trump, apabila beliau mengumumkan tarif 25 peratus ke atas import dari Mexico dan Kanada tetapi ditangguhkan selepas rundingan.
AS bagaimanapun mengenakan tarif tambahan 10 peratus ke atas import dari China.
Berasaskan Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI mengukuh sebanyak 33.99 mata kepada 1,590.91 berbanding 1,556.92 pada minggu sebelumnya.
Indeks FBM Emas meningkat 265.82 mata kepada 12,149.53, Indeks FBMT 100 melonjak 264.16 mata kepada 11,840.06, dan Indeks FBM Emas Shariah naik 248.50 mata kepada 11,985.64.
Indeks FBM ACE meningkat 65.28 mata kepada 5,260.35 manakala Indeks FBM 70 melonjak 446.51 mata kepada 18,033.53.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 379.08 mata kepada 19,233.44, Indeks Perladangan meningkat 108.30 mata kepada 7,453.90, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian bertambah 1.14 mata kepada 166.51.
Indeks Tenaga naik sedikit sebanyak 3.12 mata kepada 826.44, Indeks Penjagaan Kesihatan meningkat 73.41 mata kepada 2,235.62, dan Indeks Teknologi menambah 2.50 mata kepada 60.67.
Jumlah dagangan melonjak kepada 13.05 bilion unit bernilai RM10.46 bilion berbanding 6.42 bilion unit bernilai RM6.30 bilion pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 6.27 bilion unit bernilai RM9.04 bilion berbanding 3.34 bilion unit bernilai RM5.67 bilion sebelumnya.
Jumlah dagangan waran meningkat kepada 4.25 bilion unit bernilai RM452.29 juta berbanding 2.0 bilion unit bernilai RM177.39 juta minggu lepas.
Jumlah dagangan Pasaran ACE melonjak kepada 2.52 bilion unit bernilai RM968.79 juta berbanding 1.07 bilion unit bernilai RM454.31 juta sebelumnya.
-- BERNAMA