DUNIA

Iran Teguhkan Komitmen Perkukuh Hubungan Dengan Malaysia Dan ASEAN

08/02/2025 03:38 PM

Oleh Rohani Mohd Ibrahim

KUALA LUMPUR, 8 Feb (Bernama) -- Iran mengesahkan komitmennya untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan Malaysia, memperluaskan kerjasama ekonomi dan memperdalam penglibatan dengan ASEAN.  

Duta Iran ke Malaysia Valiollah Mohammadi Nasrabadi menekankan hubungan erat dan mesra antara kedua-dua negara, yang berkongsi kepentingan budaya, agama dan ekonomi.  

“Sebagai sebuah negara Islam, Malaysia mempunyai kedudukan istimewa dalam dasar luar Iran.

"Hubungan antara Iran dan Malaysia telah lama terjalin dengan erat dan berkesan sejak permulaan hubungan diplomatik,” katanya dalam ucapan sempena sambutan ulang tahun ke-46 kemenangan Revolusi Islam Iran di sini, Jumaat.  

Mewakili kerajaan Malaysia, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu turut menghadiri majlis itu.  

Valiollah berkata, hubungan perdagangan dan ekonomi antara Iran dan Malaysia menunjukkan perkembangan positif dengan peningkatan penyertaan dalam pameran satu sama lain serta kerjasama yang berkembang dalam forum antarabangsa seperti BRICS, D-8, dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).  

“Kedua-dua negara mempunyai potensi besar dalam pelbagai sektor seperti pertanian, industri, perdagangan, pendidikan, teknologi dan pelancongan, yang menjadi asas kukuh untuk pengembangan kerjasama dua hala.  

“Di sini, saya ingin menegaskan sekali lagi kesungguhan Iran untuk memperkukuh hubungannya dengan Malaysia lebih daripada sebelum ini,” katanya.  

Beliau turut menyatakan kesediaan Iran untuk menyokong Kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia, sambil mengalu-alukan Persidangan Kerjasama Iran-ASEAN baru-baru ini di Tehran yang dianjurkan bersama Kedutaan Malaysia bagi meneroka peluang kerjasama lebih mendalam.  

Mengenai hal ehwal serantau, Valiollah menegaskan bahawa Iran dan Malaysia berkongsi pendirian yang sama, khususnya dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin.  

“Iran dan Malaysia adalah antara negara yang memberikan bantuan besar kepada rakyat Gaza dan Palestin dalam perang baru-baru ini,” katanya.  

Meskipun tiada penerbangan terus, beliau berkata pertukaran pelancong antara Iran dan Malaysia masih kukuh.  

Beliau optimis bahawa pemulihan semula penerbangan terus antara Tehran dan Kuala Lumpur akan meningkatkan aliran pelancongan pada masa hadapan.  

Selain itu, beliau menekankan persamaan budaya dan agama yang mengeratkan lagi hubungan antara kedua-dua negara.  

“Festival Filem Iran akan diadakan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru dari 20 hingga 23 Feb. Saya menjemput semua tetamu untuk merasai pengalaman dan budaya Iran,” katanya.  

Malaysia dan Iran menjalin hubungan diplomatik pada 1970, dengan Malaysia membuka kedutaannya di Tehran.

Iran kemudiannya membuka kedutaan di Kuala Lumpur pada 1981.  

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2390639